Polis rampas dadah bernilai RM5.88 juta, penjaga stor dan ‘runner’ ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Polis rampas dadah bernilai RM5.88 juta, penjaga stor dan 'runner' ditahan

Menerima gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM5,000 dengan bekerja sebagai penjaga stor dan penghantar kepada sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang.



Pendapatan diperoleh tiga individu berusia 30 hingga 33 tahun itu dibongkar susulan penahanan mereka dan pelbagai dadah bernilai lebih RM5.88 juta dirampas.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK KL dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dalam dua serbuan berasingan di sekitar ibu kota, jam 4.50 petang kelmarin.

Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, serbuan pertama di parkir sebuah kondominium di Cheras di sini, menahan seorang lelaki bekerja sebagai penjaga stor.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam sebuah Proton Saga menemui beg sandang mengandungi dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 182.9 gram.



“Penahanan membawa kepada serbuan di satu unit kondominium dengan menggunakan kunci dirampas daripada suspek terbabit.

“Hasil serbuan, pasukan menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar.

“Pemeriksaan di dalam kediaman itu menemui dadah jenis methamphetamine seberat 111.23 kilogram (kg); kanabis (29.06 kg); pil ekstasi (7.51 kg) dan kristal mdma (6.07 kg),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khaw berkata, pihaknya melancarkan serbuan kedua di sebuah restoran di Taman Mutiara di sini, pada hari sama dan berjaya menahan seorang lagi suspek dipercayai ahli sindiket berkenaan.



Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu menyewa kondominium dengan kadar RM2,000 sebulan sejak enam bulan lalu untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.

Katanya, polis turut menyita wang tunai RM750, dua kereta jenis Nissan Almera dan Proton Saga bernilai RM55,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Menurut Khaw, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, namun saringan air kencing didapati negatif bahan terlarang.

“Kita sedang giat mengesan dalang utama sindiket itu dan tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan diperoleh dari negara di utara Semenanjung,” katanya.



Beliau berkata, semua dadah dirampas bernilai lebih RM5.88 juta dan pihaknya menganggarkan ia boleh digunakan oleh kira-kira 660,500 orang penagih sekiranya terlepas di pasaran.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 18 September ini bagi membantu siasatan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button