Lelaki maut ditikam 20 kali dalam rumah, disyaki dirompak

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki maut ditikam 20 kali dalam rumah, disyaki dirompak

Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam 20 kali dalam kejadian di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, di sini, malam tadi.



Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 1 pagi tadi.

Katanya, jiran mangsa membuat laporan selepas merasa bimbang sekiranya terjadi sesuatu kepada mangsa setelah didengari bergaduh dengan individu tidak dikenali.

“Kejadian didengari bergaduh itu berlaku sekitar pukul 11 malam tadi dan pengadu tidak melihat mangsa keluar dari kediaman selepas kejadian itu.

“Sepasukan polis bertindak ke lokasi kejadian dan menemukan seorang lelaki berusia 36 tahun dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Jelas beliau, terdapat kesan tikaman dipercayai dilakukan individu yang masih belum dikenal pasti.

“Semakan mendapati mangsa bekerja sebagai pereka hiasan dalaman rumah, tinggal sendirian dan baru sahaja membeli kediaman itu tahun lepas.

“Sebanyak 20 tikaman dikesan antaranya di bahagian rusuk (lima kali), kepada (enam kali) dan pergelangan tangan (sembilan kali),” katanya.

Jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut bermula dengan kejadian pecah rumah sebelum menjadi samun dan menyebabkan kematian.



“Barangan mangsa seperti beg duit, telefon bimbit, disyaki telah dicuri.

“Suspek di dalam kes ini kita percaya juga tercedera semasa bergelut dengan mangsa,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang terkesan mana-mana individu tercedera akibat ditikam untuk memaklumkan kepada pihak polis secepat mungkin.

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan keranan membunuh,” katanya.



Sementara itu, tinjauan wartawan Kosmo! di lokasi kejadian kejadian mendapati kawalan ketat dilakukan pengawal keselamatan terutama pergerakan keluar dan masuk penghuni dan bukan penghuni.

Salah seorang pengawal keselamatan mendakwa, mangsa tinggal seorang diri di kediaman tersebut.

Katanya, proses membawa keluar mangsa selesai dilakukan pasukan polis pagi tadi.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button