Phone scam: Warga emas rugi lebih RM1.4 juta

Oleh – Syeikh Baran


Phone scam: Warga emas rugi lebih RM1.4 juta

Seorang wanita warga emas berusia 65 yang juga pesara pegawai bank ditipu oleh sindiket yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pegawai polis sehingga kerugian lebih daripada RM1.4 juta.



Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, hasil siasatan awal pihak polis mendapati pada 11 Ogos lalu mangsa menerima satu panggilan dari seorang suspek wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai MCMC.

“Mangsa ketika dihubungi diberitahu bahawa kad banknya (kad ATM) terlibat dalam satu pengubahan wang haram.

“Setelah itu suspek kedua seorang lelaki menghubunginya di talian sama memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat sarjan dan beritahu mangsa kesnya sedang dalam siasatan pihak polis,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azizi, rentetan dari itu beberapa individu lain turut menghubunginya termasuk menyamar anggota polis berpangkat pangkat sebagai Asisten Superintendan (ASP) yang memintanya untuk membuka beberapa akaun bank di Hong Leong Bank, Affin Bank dan Am Bank.



“Arahan suspek kepada mangsa ialah bertujuan supaya mangsa membuat pemindahan wang miliknya ke dalam akaun yang baharu dibuka.

“Mangsa mengikut arahan suspek dan kemudiannya diarahkan meletakkan kesemua kad ATM dari bank yang dibuka di dalam satu sampul surat diletakkan di atas rumput pada alamat yang telah diberikan oleh suspek,” katanya.

Kata Azizi, suspek beritahu mangsa bahawa wang didalam kad ATM itu akan dikeluarkan bagi tujuan siasatan mereka dan akan dikembalikan semula setelah urusan siasatan dijalankan.

“Selepas itu mangsa telah menerima mesej pengeluaran wangnya bermula dari tarikh 23 Ogos hingga 11 September lalu.



“Setelah membuat semakan melalui penyata Hong Leong Bank, Affin Bank dan Am Bank barulah mangsa menyedari dirinya telah ditipu dan diperdaya oleh sindiket itu,” katanya.

Tambahnya, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM1,440,969 lalu datang ke balai polis untuk membuat laporan berhubung perkara itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih lagi dijalankan,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button