Lebih banyak penderaan di rumah amal GISBH akan terbongkar – KPN

Oleh – Syeikh Baran


Lebih banyak penderaan di rumah amal GISBH akan terbongkar - KPN

Polis percaya lebih banyak penderaan yang berlaku terhadap penghuni rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dapat dibongkar dalam masa terdekat.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata beberapa rakaman video berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang menghuni di rumah-rumah amal berkenaan kini dalam penelitian pihak polis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dua rakaman video yang tular menunjukkan penderaan dialami dua kanak-kanak dipercayai penghuni rumah amal berkenaan.

“Kita percaya banyak lagi penderaan yang berlaku. Kita akan buat laporan dan jalankan siasatan.

“Saya sudah arahkan pegawai ‘task force’ (pasukan khas) kes ini untuk membuat laporan.. Insha-Allah,” katanya kepada BH, hari ini.



Menerusi dua rakaman video yang tular itu, salah satunya yang berdurasi seminit sembilan saat menunjukkan seorang kanak-kanak sedang menahan kesakitan sambil menangis dipercayai akibat dadanya ditindih dengan lutut oleh seorang lelaki.

Lelaki terbabit juga dilihat bertanya punca kanak-kanak itu menangis selain turut memicit hidungnya.

“Kenapa menangis, nak mati ke?” katanya.

Menerusi satu lagi rakaman video berdurasi 42 saat, kelihatan kanak-kanak lelaki dirotan seorang lelaki pada bahagian tapak tangan beberapa kali menyebabkan kanak-kanak mengaduh kesakitan.



BH semalam, melaporkan polis menemukan eleman pengabaian dan penganaiyaan pada kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global membabitkan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Razarudin dilaporkan berkata, setakat kelmarin, seramai 384 daripada 402 kanak-kanak yang diselamatkan dalam serbuan itu sudah selesai menjalani saringan kesihatan.

Katanya, hasil saringan kesihatan mendapati terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiyaan.

“Polis juga sudah merakam percakapan seramai 483 orang sehingga semalam (kelmarin) membabitkan pengadu, saksi, mangsa dan juga suspek.



“Berkaitan kes liwat ia masih dalam siasatan dan akan diperjelaskan kemudian,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button