PRK Mahkota: Calon BN rai 7 pasangan pengantin

Oleh – Syeikh Baran


PRK Mahkota: Calon BN rai 7 pasangan pengantin

Tanggal 16 September bukan saja sambutan Hari Malaysia malah menjadi detik bersejarah buat tujuh pasangan pengantin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota apabila diraikan dalam majlis persandingan beramai-ramai.



Lebih manis apabila persandingan Raja Sehari ini turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah yang meluangkan masa meraikan pasangan terbabit.

Menurut Syed Hussien, majlis perkahwinan beramai-ramai menampilkan tujuh pasangan pengantin terdiri daripada golongan itu menjadi titik permulaan untuk perancangan majlis seumpamanya pada masa depan.

“Saya sangat bersetuju, majlis seumpama ini diadakan bagi meringankan beban kos majlis perkahwinan untuk anak muda ketika segala perbelanjaan meningkat.

“Sudah tentu saya mahu terus membantu golongan kurang berkemampuan dan B40 dengan program seumpama ini,” katanya.



Sementara itu, pasangan pengantin yang menyertai majlis perkahwinan hanya perlu membayar mas kahwin dan menyewa baju pengantin, manakala jamuan dan pelamin disediakan Yayasan Prihatin Kluang.

Pengantin, Mohamad Amirul Md Din, 25 dan pasangannya, Nor Asnani Ishak, 26, berkata dia bersyukur kerana majlis persandingan itu berjalan lancar.

Mohamad Amirul yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, majlis pernikahan diadakan di Masjid Dato Ahmad Kampung Abdul Rahman Yassin pada, Jumaat lalu.

“Saya dan isteri gembira kerana dapat jimat belanja perkahwinan, seperti mana yang kita tahu zaman sekarang harga semua naik.



“Saya seronok dapat kahwin serentak dengan pasangan yang lain, lebih bermakna lagi tarikhnya cukup istimewa pada 16 September” katanya ketika ditemui di Dewan Sharifah Azizah di Taman Ilham di sini, hari ini.

Pengurus Eksekutif Yayasan Prihatin Kluang, Zainani Jamaluddin berkata, program kahwin beramai-ramai yang julung diadakan di DUN Mahkota diasaskan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Kami amat gembira dan bersyukur dapat melaksanakan majlis ini yang berjalan lancar dengan kehadiran keluarga pengantin dan penduduk setempat.

“Ia juga dapat membantu golongan anak muda yang kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga,” katanya.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button