Mamat ditemui maut pada hari ulang tahun kelahiran ibu

Oleh – Syeikh Baran


Mamat ditemui maut pada hari ulang tahun kelahiran ibu

Anak ditemui maut pada hari ulang tahun kelahiran ibu.



Itu dugaan dihadapi Nurzainah Saberi @ Imran, 59, ibu kepada Mohamad Akhmal Mohd Yusuf, 23, yang dilaporkan hilang selepas terjun ke laut untuk menyelamatkan rakannya yang terjatuh dari bot akibat ribut ketika merawai ikan di perairan Tanjung Piandang, di sini, semalam.

“Tarikh hari ini memang tidak akan saya lupakan,” katanya sambil memaklumkan bahawa beliau bersama ahli keluarga dan penduduk kampung mengadakan solat hajat serta bacaan Yasin bagi memohon agar Mohamad Akhmal ditemui susulan kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam.

Nurzainah berkata, beliau reda dengan insiden yang berlaku apabila mayat Mohamad Akhmal yang turut dipanggil sebagai Mamat, ditemui terapung kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

“Alhamdulillah, Mamat sudah dijumpai dan saya reda dengan kejadian yang menimpanya. Cuma, saya sedikit terkesan kerana ia bersamaan dengan tarikh ulang tahun kelahiran saya, hari ini.



“Selain itu, adiknya bakal melangsungkan perkahwinan pada November depan. Ketiadaan Mamat akan menyuramkan keadaan nanti,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Unit Forensik, Hospital Parit Buntar, di sini, hari ini.

Nurzainah berkata, Mohamad Akhmal adalah satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik, dan Allahyarham banyak membantu keluarga.

“Seminggu sebelum kejadian, Mamat belikan beg silang baharu untuk ayahnya. Sebelum itu, dia turut membaiki motosikal makcik yang rosak.

“Kehilangannya memang amat dirasai. Sampai sekarang masih terbayang-bayang kelibat Mamat,” katanya yang mengetahui berita penemuan mayat Mohamad Akhmal daripada komuniti nelayan setempat ketika berada di jeti.



Sementara itu Mohd Fauzi Dahali, 42, berkata beliau bersama tekong dan dua rakan ialah antara individu terawal menjumpai mayat Mohamad Akhmal.

Pada awalnya, beliau berkata, mereka ternampak objek terapung yang disangkakan kain buruk tetapi apabila bot pergi mendekatinya, ia didapati adalah jasad manusia dalam keadaan tertiarap sebelum membawa mayat itu ke Jeti Nelayan Sungai Betul Bawah untuk diserahkan kepada pihak berkaitan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff pula mengesahkan kejadian dan mayat mangsa telah disahkan oleh waris.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button