Mahkamah arah pengasas bersama MYAirline dedah penyata akaun bank
Oleh – Syeikh Baran
Pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Hua, antara tiga defendan diarahkan mendedahkan penyata akaun bank masing-masing dalam satu tuntutan sivil yang sedang berlangsung.
Ia selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan difailkan bulan lalu oleh defendan Hwan Hua, I-Serve Online Mall Sdn Bhd dan QA Smart PLT untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penemuan itu.
Rajesh yang dipetik laporan FMT hari ini, berkata mahkamah memutuskan tiada keadaan khas yang membenarkan penangguhan sambil mengarahkan plaintif diberi kos RM15,000 secara keseluruhan.
Lantaran itu, ketiga-tiga defendan perlu menyerahkan penyata akaun bank mereka kepada plaintif menjelang jam 5 petang pada 26 September ini.
Memetik laporan Jun lalu, 213 pelabur memfailkan tuntutan sivil terhadap Hwan Hua berhubung satu skim pelaburan yang didakwa berunsur penipuan.
Tuntutan terbabit menamakan isteri Hwan Hua, Neow Ean Lee sebagai defendan, yang mana wanita itu adalah pengarah dan 17 entiti dikaitkan dengan Hwan Hua, termasuk MYAirline.
Mengikut pernyataan tuntutan, pelabur belum dibayar balik wang yang didepositkan mereka dalam entiti korporat di bawah kumpulan syarikat I-Serve, yang dikawal sepenuhnya oleh Hwan Hua.
Plaintif menuntut ganti rugi atas penipuan, kecuaian, konspirasi dan pernyataan tidak bersalah, serta ganti rugi teladan dan teruk. Semuanya akan dinilai oleh mahkamah.
Perbicaraan akan bersambung pada 14 hingga 15 dan 21 hingga 23 Oktober ini, serta 16 hingga 19 Disember ini.
Sumber – BERITA HARIAN