Tiada bukti tindakan Najib untuk dapatkan suapan – Peguam

Oleh – Syeikh Baran


Tiada bukti tindakan Najib untuk dapatkan suapan - Peguam

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu, Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terlebih dulu membuat keputusan untuk mengambil alih dua syarikat tenaga, sebelum perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak memberikan kelulusan.



Peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, dalam hujahannya di akhir kes pendakwaan berkata, perkara itu boleh dilihat melalui Minit Perwakilan (MR) dan Resolusi Khas Pemegang Saham (SSR) 1MDB.
 

Peguam itu berkata, idea pengambilalihan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) timbul tiga bulan sebelum Najib menurunkan tanda tangannya bagi meluluskan tindakan berkenaan.

Katanya, sementara itu Najib hanya memberikan kelulusan bagi mengambil alih Mastika Lagenda Sdn Bhd 13 hari selepas Lembaga Pengarah memutuskan tindakan pengambilalihan terbabit.

“Oleh itu, berdasarkan keterangan saksi, pendakwaan gagal membuktikan bahawa pada ketika kelulusan itu diberikan, Najib mempunyai niat untuk mendapatkan suapan daripada Blackstone Asia Real Estate Partners,” katanya.

Blackstone Asia dikatakan syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan kontroversi dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong atau Eric Tan.



Menurut Wan Azwan Aiman, tiada keterangan direkodkan daripada Kim Long atau Jho Low dan saksi pendakwaan tidak pernah menyatakan bahawa segala tindakan yang dibuat oleh 1MDB adalah suapan kepada Najib.

Saksi pendakwaan terbabit adalah bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.

Katanya, saksi pendakwaan secara konsisten membuktikan Najib tidak bertanggungjawab terhadap dakwaan salah laku itu.

Peguam terbabit mengemukakan hujahan berkaitan tuduhan kedua terhadap Najib, yang didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk mendapatkan suapan hampir RM90.9 juta dengan meluluskan anak syarikat 1MDB untuk menawarkan bidaan pengambilalihan TEHSB dengan harga bidaan RM10.6 bilion.



Ia juga bagi pengambilalihan ekuiti Mastika Lagenda dengan harga pembelian agregat sehingga RM2.75 bilion yang mana beliau mempunyai kepentingan secara langsung.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Pendengaran hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button