Meteorit Marikh ditemukan di Antartika dipamer pada Ekspo Osaka 2025

Oleh – Syeikh Baran


Meteorit Marikh ditemukan di Antartika dipamer pada Ekspo Osaka 2025

“Batu Marikh” yang ditemukan di Antartika oleh pasukan penyelidik Jepun akan dipamerkan kepada orang ramai buat kali pertama pada Ekspo Dunia 2025 di Osaka.



Agensi Berita Kyodo yang memetik kerajaan berkata, meteorit itu yang ditemukan pada 2000 oleh Institut Penyelidikan Kutub Kebangsaan Jepun, telah tercampak ke angkasa lepas akibat kesan asteroid di permukaan Marikh.

Meteorit itu antara terbesar seumpamanya ditemukan di bumi, berukuran 29 sentimeter (cm) panjang, 22cm lebar, 16cm tinggi dan berat sekitar 13 kilogram (kg).

Analisis gas yang terperangkap di dalamnya menunjukkan asal usulnya.

Batu itu mengandungi mineral terbentuk akibat tindak balas dengan air, memberikan bukti bahawa pernah ada air di Marikh dan berpotensi menjadi petunjuk untuk memahami asal usul kehidupan.



Kerajaan memutuskan untuk mempamerkannya selepas menganggap ia sesuai dengan tema Ekspo iaitu ‘Merancang Masyarakat Masa Depan untuk Kehidupan Kita’.

Pada Ekspo Osaka 1970, batu Bulan yang diambil oleh misi angkasa lepas Apollo 11, telah dipamerkan, menjadi tarikan utama di acara itu.

Kerajaan meminta rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) untuk mempamerkan batu itu sekali lagi di ekspo bermula pada April.

Pameran meteorit itu akan menjadi peluang yang baik untuk orang ramai belajar tentang ekspedisi penyelidikan dan aktiviti yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Kutub Kebangsaan, kata Menteri Sains, Masahito Moriyama, pada sidang media.



Terdapat rancangan untuk menyiarkan secara langsung pendaratan probe tanpa pemandu ke Marikh di ekspo itu, namun idea itu dibatalkan selepas Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun menangguhkan pelancaran dari 2024 ke tahun kewangan 2026. – BERNAMA-KYODO

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button