Hotel terkenal di Terengganu didenda RM8,000 jual makanan tercemar

Oleh – Syeikh Baran


Hotel terkenal di Terengganu didenda RM8,000 jual makanan tercemar

Sebuah hotel tempatan yang terkenal didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menjual makanan tercemar mengandungi mikroorganisma Coliform, Mac lalu.



Hakim Mohd Zul Zakiquddin Zulkifli menjatuhkan hukuman tersebut terhadap pegawai penjaga restoran Wan Kamaruzzaman Wan Husin, 49, selepas wakil hotel itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Menurut pertuduhan, hotel berkenaan menjual ayam bakar mengandungi bakteria Coliform kepada seorang pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu kira-kira 5.20 petang 17 Mac lalu.

Hasil analisis mendapati makanan berkenaan mengandungi Coliform.



Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 13B(4) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) Alias Awang Kechik ketika memohon hukuman setimpal berkata kesalahan tersebut adalah serius kerana ia mengundang pelbagai masalah kesihatan selain tertuduh pernah menghadiri kursus pengendalian makanan.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button