Pegawai JIM ‘berpengaruh’ dalang utama ‘counter setting’
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pegawai lelaki Jabatan Imigresen (JIM) yang disifatkan ‘berpengaruh’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilaporkan menjadi dalang utama kepada sindiket membawa warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.
Lelaki berusia awal 40-an itu merupakan salah seorang daripada 50 penguat kuasa JIM yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran membawa masuk pekerja asing melalui kaunter tertentu tanpa pemeriksaan ditetapkan JIM.
Kesemua mereka ditahan menerusi Op Pump, Op Setting dan Open Pump 2.0 hasil risikan yang dijalankan Bahagian Perisikan
SPRM selama enam bulan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalang utama itu berjaya diberkas SPRM pada 5 September lalu selepas dipercayai melarikan diri sebaik sahaja operasi siasatan kes bermula.
“Itu salah seorang yang kita tangkap (dalang utama), dia mengawal lebih kurang 50 pegawai sebab dia yang berpengaruh, dia ‘focal person’ untuk menjadi perantara.
“Ia supaya pegawai imigresen terlibat melaksanakan apa yang diarahkan oleh beliau,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini tadi.
Azam berkata, dalang utama itu juga dijangka dituduh di mahkamah pada awal Oktober depan selepas SPRM melengkapkan laporan siasatan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tangkapan dibuat terhadap 50 penguat kuasa terlibat, Azam berkata, 49 daripadanya bertugas di JIM dan satu berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber – KOSMO! ONLINE