20 Oktober sebutan semula kes pensyarah, kontraktor sokong IS

Oleh – Syeikh Baran


20 Oktober sebutan semula kes pensyarah, kontraktor sokong IS

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 20 Oktober depan bagi sebutan semula kes dihadapi bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kontraktor yang didakwa berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS).



Hakim Hazelia Mohammad menangguhkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Ismail memaklumkan masih belum menerima beberapa lagi laporan pakar berhubung kes itu.

Menurut pihak pendakwaan, laporan yang masih belum diterima adalah laporan forensik, laporan lengkap ideologi, beberapa laporan terhadap buku-buku fizikal yang dimiliki tertuduh, laporan perbualan WhatsApp dan laporan video yang dimiliki.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes ke tarikh baharu itu dan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebaik semua dokumen lengkap diterima pihak pendakwaan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh, Abdullah Daud, 70, dan Mohamad Awang, 48, tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen kira-kira pukul 8.30 pagi tadi dengan kawalan ketat anggota polis.



Bekas pensyarah IPTA dilihat menaiki kerusi roda yang ditolak oleh anggota polis memasuki kamar mahkamah.

Pada 21 Julai lalu, Abdullah didakwa menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dengan cara menanam fahaman ideologi keganasan berkaitan kumpulan pengganas IS serta memiliki dua buku bertajuk Hakikat Dienul Islam dan Tarbiyah Jihadiyah yang juga bahan berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Warga emas itu turut didakwa memiliki dua buku digital dan dua video bahan yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbitnya selain membenarkan perjumpaan diadakan dalam rumahnya untuk menyokong aktiviti keganasan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Melayu Kangkar Pulai di sini antara 3 September tahun lalu hingga 28 Jun lalu.



Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a) dan Seksyen 130H(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohamad didakwa memiliki bahan yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbit dan komputer riba miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Taman Daya di sini pada pukul 7.05 pagi, 23 Jun lalu. Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button