Mahkamah kekalkan nama Zayn Rayyan seperti dalam pertuduhan sebelum ini

Oleh – Syeikh Baran


Mahkamah kekalkan nama Zayn Rayyan seperti dalam pertuduhan sebelum ini

Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berdepan dengan pertuduhan mengabaikan mangsa yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan terhadap mereka.



Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan representasi dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen yang diperoleh daripada pihak pendakwaan.

Susulan itu, Syahliza menetapkan 6 Disember ini bagi pengurusan kes untuk keputusan representasi berkenaan ketika sebutan kes itu hari ini, selain permohonan pihak peguam itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datin Kalmizah Salleh.

Pada prosiding itu, Kalmizah memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan sudah menyerahkan tiga dokumen iaitu laporan forensik kamera litar tertutup (CCTV), laporan syarikat telekomunikasi dan laporan forensik telefon bimbit.

“Berkenaan status permohonan (peguam) meminda nama mangsa pada kertas pertuduhan dibuat pihak peguam secara lisan pada prosiding sebelum ini, pihak kami memohon permohonan ini ditolak dan memohon nama mangsa pada kertas pertuduhan dikekalkan.



“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan. Sebanyak 15 saksi pendakwaan akan dipanggil,” katanya

Syahliza kemudian menetapkan 15 hari iaitu bermula 20 hingga 24 Januari 2025 dan 3 hingga 7 Februari serta 17 hingga 21 Februari tahun sama sebagai tarikh perbicaraan kes itu, dan membenarkan nama mangsa dikekalkan seperti dalam pertuduhan sebelum ini.

Terdahulu, Fahmi berkata, berkenaan isu permohonan meminda nama mangsa, ia tidak mendatangkan prejudis kepada pihak pendakwaan atau pembelaan kerana merujuk individu sama (mangsa) dan ia disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, dokumen diperoleh daripada JPN mengesahkan nama sebenar kanak-kanak itu dibetulkan daripada Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.



“Saya faham permohonan ini dibuat secara lisan dan tidak dibuat secara rasmi, namun sekiranya mahkamah mengarahkan kami (pembelaan) membuat permohonan secara afidavit, kami akan patuh,” kata peguam itu.

Sementara itu, Fahmi ketika ditemui media berkata, representasi itu bertujuan menarik balik atau menyemak semula pertuduhan dihadapi kedua-dua anak guamnya.

Mengenai keputusan mahkamah mengekalkan nama pertuduhan, beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan notis usul berhubung perkara meminda nama mangsa selepas perbincangan bersama ahli keluarga anak guamnya.

“Bagaimanapun, kami menghormati keputusan mahkamah dan kami akan meneliti tindakan selanjutnya, pihak pendakwaan juga menolak permohonan itu tanpa menyatakan alasan kukuh,” katanya.



Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember 2023 di sekitar Jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya akibat mempertahankan diri. – BERNAMA



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button