Gencatan senjata cara terbaik bendung keganasan Asia Barat – Blinken
Oleh – Syeikh Baran
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, hari ini mengaku gencatan senjata cara terbaik untuk menghentikan perang Palestin-Israel.
Dengan cara sama, beliau berkata ia juga dapat membendung penularan keganasan di seluruh Asia Barat.
“Kita semua tahu gencatan senjata peluang terbaik untuk menangani krisis kemanusiaan di Gaza, untuk mengatasi risiko terhadap kestabilan serantau,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Mesir di sini, hari ini.
Cadangan sebelum ini yang dikemukakan Presiden AS, Joe Biden pada Jun lalu, mengesyorkan gencatan senjata tiga fasa sebagai balasan kepada pembebasan tebusan Israel.
Bagaimana setakat ini peluang masih samar untuk mencapai kata sepakat dalam mengisytihar gencatan senjata untuk menghentikan konflik antara Palestin-Israel.
Serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu ke atas Israel selatan mencetus perang di Gaza dan Hizbullah membuka barisan kedua menentang Israel sehari kemudian.
Ia sekali gus meningkatkan pertempuran rentas sempadan Israel-Lubnan sehingga mengancam untuk mencetuskan konflik serantau
Puluhan ribu rakyat Israel dipindahkan dari bandar-bandar di sepanjang sempadan utara yang rosak teruk akibat tembakan roket dan mereka masih belum pulang.
Pertempuran rentas sempadan semakin sengit sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketika Israel mengurangkan serangan terhadap Hamas di Gaza dan mengerahkan lebih banyak tentera untuk kemungkinan serangan di utara terhadap Hizbullah. – AFP
Sumber – BERITA HARIAN