Azalina sokong tubuh RCI siasat kes penderaan, eksploitasi 402 kanak-kanak dikait GISBH

Oleh – Syeikh Baran


Azalina sokong tubuh RCI siasat kes penderaan, eksploitasi 402 kanak-kanak dikait GISBH

Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes penderaan, pengantunan dan eksploitasi terhadap 402 kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Busines Holding (GISBH) disokong sepenuhnya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.



Azalina dalam ciapan di platform X menegaskan, undang-undang yang terbaik untuk melindungi kanak-kanak boleh diwujudkan.

“Tetapi sekiranya ada sikap berat sebelah pengawal selia terhadap penguat kuasa agama, maka tiada kanak-kanak akan diselamatkan dalam situasi begitu,” katanya.

Terdahulu, Majlis Peguam Malaysia menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr Farah Nini Dusuki mengenai penubuhan RCI berkenaan.

Katanya, ia penting untuk dilaksanakan segera kerana laporan mengenai kes tersebut amat mengejutkan.



Sebelum ini, Farah Nini dilaporkan turut meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) membentuk jawatankuasa khas bagi membangunkan strategi komprehensif untuk mencegah penderaan, pengantunan dan eksploitasi berulang kembali di semua institusi berkaitan kanak-kanak termasuk rumah amal.

Seramai 402 kanak-kanak dipercayai didera dan dieksploitasi diselamatkan polis daripada 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada 11 September lalu.
 
Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button