70 terbunuh, 200 lagi cedera dalam serangan di Mali
Oleh – Syeikh Baran
Serangan di ibu kota Mali yang mensasarkan kem latihan polis tentera dan lapangan terbang tentera mengorbankan lebih 70 orang manakala 200 lagi dilaporkan cedera, hari ini.
Sumber keselamatan berkata, seramai 77 orang terbunuh dan 255 cedera dalam serangan pada hari Selasa lalu di sini.
Menurut dokumen sulit yang telah disahkan meletakkan angka korban sekitar 100 orang, dengan menyenaraikan 81 mangsa.
Akhbar Le Soir melaporkan pengebumian sekitar 50 pelajar polis tentera akan berlangsung hari ini.
Pihak berkuasa yang diketuai tentera Mali masih belum mengeluarkan angka korban yang tepat daripada serangan berkenaan, didakwa oleh kumpulan jihad JNIM mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.
Operasi ini adalah yang pertama seumpamanya dalam beberapa tahun dan memberikan tamparan hebat kepada junta pemerintah, menurut pakar.
Biasanya, ibu kota Mali tidak terbabit dalam serangan seperti ini, namun ia sering berlaku di kawasan lain di negara itu.
Namun, kali ini, serangan yang didakwa oleh kumpulan jihad JNIM yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, mengakibatkan kematian ramai orang sehingga memberi tamparan besar kepada pihak berkuasa tentera Mali.
Pihak tentera mengakui bahawa “beberapa nyawa telah terkorban”, terutama sekali di pusat polis tentera.
Kumpulan JNIM mendakwa bahawa beberapa puluh pejuang mereka turut terbunuh dan mencederakan “ratusan” pihak lawan, termasuk anggota kumpulan paramilitari Russia, Wagner.
Serangan itu berlaku sehari selepas Mali, Niger dan Burkina Faso yang dipimpin oleh junta menyambut ulang tahun pertama pembentukan kumpulan gabungan mereka, Perikatan Negara-Negara Sahel (AES).
Ketiga-tiga negara ini berada di bawah pemerintahan tentera selepas beberapa siri rampasan kuasa sejak 2020 dan pada bulan Januari mereka mengumumkan untuk memutuskan hubungan dengan blok serantau ECOWAS.- AFP
Sumber – BERITA HARIAN