Pengundi Muslim di AS tolak Kamala Harris, sokong Jill Stein

Oleh – Syeikh Baran


Pengundi Muslim di AS tolak Kamala Harris, sokong Jill Stein

Pengundi Arab-Amerika dan Muslim yang marah dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap serangan Israel di Gaza kini menghindari calon Demokrat, Kamala Harris yang kini bertanding sebagai calon Presiden AS.



Sebaliknya, pengundi berkenaan kini lebih memilih untuk menyokong calon ketiga, Jill Stein. Tindakan itu boleh menyebabkan Harris kalah di negeri tertentu dalam penentuan pilihan raya pada 5 November ini.

Tinjauan yang dikeluarkan oleh Majlis Perhubungan Amerika-Islam bulan ini menunjukkan bahawa di Michigan, yang mempunyai komuniti Arab-Amerika yang besar, sebanyak 40 peratus pengundi Muslim menyokong Stein dari Parti Hijau.

Calon Republikan, Donald Trump pula mendapat 18 peratus sokongan manakala Harris, yang juga Naib Presiden kepada Joe Biden, ketinggalan dengan 12 peratus.

Stein juga mendahului Harris dalam kalangan pengundi Muslim di Arizona dan Wisconsin, di negeri dengan populasi Muslim yang besar di mana Biden menewaskan Trump pada tahun 2020 dengan majoriti tipis.



Harris menjadi pilihan utama pengundi Muslim di Georgia dan Pennsylvania, manakala Trump berjaya di Nevada dengan 27 peratus hanya sedikit mengatasi Harris dengan 26 peratus, menurut tinjauan CAIR terhadap 1,155 pengundi Muslim di seluruh negara.

Kesemua negeri ini adalah negeri yang sering ditentukan oleh majoriti kecil dalam pilihan raya baru-baru ini.

Biden sebelum ini memenangi undi Muslim pada pilihan raya 2020 dengan beberapa tinjauan menunjukkan beliau mendapat sokongan lebih daripada 80 peratus sokongan mereka.

Namun sokongan Muslim terhadap Demokrat merosot secara ketara sejak tindakan Israel yang hampir setahun peperangan di Gaza.



Kira-kira 3.5 juta rakyat Amerika melaporkan bahawa mereka berketurunan Timur Tengah dalam Banci AS 2020 iaitu ketika kali pertama data sedemikian direkodkan.

Walaupun mereka hanya merangkumi kira-kira satu peratus daripada jumlah populasi AS sebanyak 335 juta, undian mereka mungkin memainkan peranan penting dalam pilihan raya yang menurut tinjauan pendapat adalah sengit. – REUTERS

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button