Pemandu lori sebabkan kemalangan 10 kenderaan, 1 kematian direman

Oleh – Syeikh Baran


Pemandu lori sebabkan kemalangan 10 kenderaan, 1 kematian direman

Pemandu lori yang dilapor menjadi punca kemalangan 10 kenderaan dan mengakibatkan seorang lelaki maut, berhampiran Wisma MBS di Jalan Seremban-Tampin, semalam direman dua hari bermula hari ini.



Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Marlissa Mohd Fahmy.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil ujian urin ke atas pemandu lori itu mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine.

“Lelaki ini akan disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kejadian, Mohamad Hatta berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika semua kenderaan yang bergerak perlahan di lokasi dihentam lori dipandu suspek dari arah belakang.



Ketika kejadian, lori muatan batu gunung itu dari arah Tampin menghala Seremban.

“Akibat kemalangan ini, kenderaan lain dikatakan melanggar satu sama lain dan lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta Proton Iswara disahkan meninggal dunia selepas kenderaannya dihempap lori itu,” katanya.

Tambahnya lagi, seorang mangsa wanita berusia 48 tahun yang juga penumpang kenderaan Nissan X-Trail patah tangan kanan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

“Mayat mangsa yang meninggal dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HTJ. Lain-lain mangsa mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal sebelum dibenarkan pulang,” katanya.



Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat agar berhubung dengan Pegawai Penyiasat (IO), Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau ke mana-mana balai berhampiran.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button