Perlis isytihar GISB ajaran sesat

Oleh – Syeikh Baran


Perlis isytihar GISB ajaran sesat

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan bahawa ajaran dan kepercayaan dalam GISB Holdings Sdn. Bhd. mengandungi unsur ajaran sesat, khususnya berkaitan dengan fahaman batiniah.



Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, ajaran ini merupakan kesinambungan dari ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sebagai sesat sebelum ini.

“Keputusan ini diambil setelah Jawatankuasa Fatwa meneliti bukti-bukti berkaitan GISB Holdings yang meyakinkan.

“Jawatankuasa Fatwa menyatakan bahawa pengkultusan pemimpin dalam kalangan ahli GISB adalah melampau sehingga meletakkan kedudukan pemimpin atau tokoh agama mereka setaraf dengan Nabi Muhammad SAW.,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, lebih membimbangkan, pemimpin tersebut dianggap mempunyai keajaiban dan mampu mengetahui perkara-perkara ghaib.



“Kesan daripada pengkultusan ini mengakibatkan ketaksuban melampau dalam kalangan pengikut.
Mereka taat kepada pemimpin walaupun arahan tersebut jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

“Selain itu, pengikut GISB turut mengambil keberkatan secara melampau daripada sisa tubuh badan pemimpin mereka, selain mempercayai bahawa pemimpin yang sudah meninggal dunia masih hidup dan boleh memberi panduan,” ujarnya.

Jawatankuasa Fatwa turut menegaskan bahawa model ekonomi yang diamalkan GISB Holdings tidak menepati prinsip ekonomi Islam.

Ia dikatakan mempunyai unsur penindasan dan perhambaan, serta mengeksploitasi ahli-ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.



Sehubungan itu, semua aktiviti dan ajaran GISB Holdings diharamkan serta dilarang sama sekali di negeri itu.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button