Pekerja jeti maut dihempap lori air batu
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pekerja jeti terbunuh apabila dihempap oleh sebuah lori membawa muatan air batu dalam kejadian di Pekan Kukup Laut di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, mangsa, Lee Bok Soon, 64, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Difahamkan, ketika kejadian, warga emas itu sedang melakukan kerja-kerja mengangkat barang sebelum didatangi sebuah lori membawa muatan ais melalui jalan di jeti terbabit.
Ketika melalui jalan berkenaan, tayar lori itu dipercayai terbenam ke dalam laluan itu sebelum kenderaan berat itu terbalik dan menghempap mangsa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Hasnan Rahman berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor (JBPJ) menerima panggilan telefon kecemasan pada pukul 6.51 pagi.
Justeru itu, pihaknya telah menghantar 11 orang anggota dari BBP Pontian Baru dan sebuah jentera FRT serta sebuah EMRS ke lokasi kejadian kira-kira 18 kilometer ( KM ) ke Pekan Kukup Laut.
“Sebaik sahaja Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba, pihak PKO mendapati sebuah lori membawa muatan air batu telah terbalik di kawasan jeti tempat penurunan ikan.
“Terdapat seorang mangsa yang bekerja di jeti telah terhempap di bawah lori air batu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sinihari ini.
Tambah Mohd. Hasnan, PKO telah bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan mengklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).
Sumber – KOSMO! ONLINE