Isu protes undi Cina lebih kepada kelompok pengundi luar – Syed Hussien

Oleh – Syeikh Baran


Isu protes undi Cina lebih kepada kelompok pengundi luar - Syed Hussien

Kegusaran Barisan Nasional (BN) terhadap isu protes pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, lebih menjurus terhadap kelompok pengundi luar.



Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, beliau tidak melihat isu protes yang disebut-sebut itu sebagai isu besar, bersandarkan keyakinan terhadap maklum balas positif daripada masyarakat Cina yang disantuni sepanjang tempoh berkempen setakat ini.

Sebaliknya, jelas beliau, kebimbangan yang wujud adalah berkaitan kekangan pengundi luar untuk pulang mengundi.

“Saya lihat sepanjang kempen saya bersama dengan masyarakat Tionghua, mereka memberi sokongan yang sangat baik.

“Apa yang dimaksud dengan Cina tak keluar (undi) ini adalah mereka tidak pulang…kerana (untuk) PRK (pilihan raya kecil), ada sesetengah majikan tidak memberi cuti, tidak seperti PRU (pilihan raya umum). Jadi itu sahaja.



“Tetapi untuk (pengundi) Cina setempat, saya berpendapat, mereka akan memberi sokongan yang cukup padu (untuk PRK) kali ini,”katanya ketika ditemui pada Program Sembang Santai Petang Bersama Gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Kluang, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu 1, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas pendekatan yang akan dibuat bagi menarik pengundi Cina keluar mengundi ekoran desas-desus wujudnya gerakan protes pengundi Cina yang enggan keluar mengundi dalam PRK DUN Mahkota 28 September ini.

Dalam pada itu, tambah beliau, BN akan meneruskan kempen berkonsepkan ‘keluarga besar’ tanpa mengabaikan mana-mana kaum.

“Kami tidak akan meninggalkan setiap bangsa. Kita akan seimbangkan konsep kempen kita,” katanya.



Tempoh kempen PRK DUN Mahkota berbaki lima hari menjelang 28 September ini yang menyaksikan pertembungan antara calon BN yang mempertaruhkan Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang, manakala Perikatan Nasional (PN) diwakili Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button