Duit simpanan lebih RM14,000 lebur, ejen pekerja asing larikan wang perbaharui visa

Oleh – Syeikh Baran


Duit simpanan lebih RM14,000 lebur, ejen pekerja asing larikan wang perbaharui visa

Lelaki warga Bangladesh kerugian lebih RM14,000 dengan mendakwa wang untuk pembaharuan visanya disonglap dua kakitangan syarikat ejen pekerja asing.



Menurut pekerja Bangladesh berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Salahudin, 34, dia masuk ke Malaysia sejak 2013 untuk bekerja sebagai buruh binaan.

Katanya, dia memiliki dokumen sah untuk masuk ke negara ini dan kerap memperbaharuinya sebaik sahaja ia tamat tempoh menggunakan khidmat syarikat ejen terbabit.

“Sebelum ini, sudah lima kali saya menggunakan khidmat syarikat itu untuk memperbaharui permit kerja termasuk pada 23 Jun tahun lalu apabila dokumen berkenaan tamat tempoh.

“Pembayaran bagi proses itu dibuat kepada dua kakitangan syarikat berkenaan iaitu seorang lelaki serta seorang wanita sejak Jun tahun lalu.



“Terdapat pembayaran secara tunai dan transaksi ke akaun bank mereka sepanjang tempoh itu hingga pada bulan ini yang berjumlah RM14,200,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Salahudin berkata, dia ada bertanyakan kepada dua kakitangan itu tempoh masa permit baharunya boleh diperoleh, namun mereka memberi pelbagai alasan untuk meminta lebih banyak wang.

“Apabila saya tanya, mereka beri banyak alasan termasuk memaklumkan pasport saya hilang selepas diserahkan kepada mereka untuk tujuan itu (pembaharuan permit).

“Saya menyedari ditipu selepas pengurus syarikat ejen itu memaklumkan dua kakitangan berkenaan sudah ‘hilang’ apabila tidak datang bekerja.



“Saya berasa terkilan apabila ditipu sebab bukan sahaja wang simpanan saya habis, malah saya juga berhutang dengan rakan untuk membayar wang bagi proses memperbaharui permit kerja,” katanya.

Susulan itu, kerani syarikat terbabit membuat laporan terhadap dua kakitangan berkenaan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kepong di sini, pada 19 September lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika dihubungi hari ini, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Laporan yang diterima adalah susulan dibuat yang syarikat itu sendiri terhadap pekerjanya (suspek) yang sama selepas mendapati terdapat kerugian oleh mangsa lain (selain Salahudin).



“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah amanah oleh pekerja,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button