Penunggang motosikal maut rempuh lima lembu melintas
Oleh – Syeikh Baran
Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh kawanan lembu yang melintas jalan raya di Kilometer 24 Jalan Ferri Hutan Melintang di sini pada Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, mangsa dikenali Mohd Rohaizad Ahmad Zaid, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, kejadian turut mengakibatkan seorang lagi penunggang motosikal berusia 38 tahun cedera.
“Siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Sabak Bernam ke Hutan Melintang.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa gagal mengelak kehadiran lima lembu yang melintas secara tiba-tiba dari laluan kanan ke kiri jalan,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.
Beliau berkata, kemalangan turut melibatkan sebuah lori dan kereta yang datang dari arah bertentangan.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemandu berusia 29 dan 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber – SINAR HARIAN