Lelaki rentung disyaki kena bunuh sebelum rumah dibakar

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki rentung disyaki kena bunuh sebelum rumah dibakar

Lelaki yang rentung dalam kebakaran rumah teres di Taman Muhibbah 2, Sitiawan, di sini awal pagi tadi, disyaki dibunuh sebelum rumahnya dibakar.



Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu sebelum kejadian dilaporkan kepada polis pada jam 2.39 pagi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman, berkata seorang saksi melihat lelaki dikenalinya masuk ke dalam rumah itu sebelum terdengar bunyi hentakan objek di ruang tamu.

“Suspek kemudiannya dilihat keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol dan meninggalkan rumah sebelum saksi menyedari kebakaran.

“Pihak polis juga menahan suspek berhampiran dengan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



Katanya, suspek direman selama tujuh hari hingga 1 Oktober depan untuk membantu siasatan.

“Bedah siasat ke atas mayat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Permaisuri Raja Bainun, Ipoh,” katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Asisten Superintendan Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 atau bilik gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditemukan rentung di ruang tamu sebuah rumah, manakala tujuh ahli keluarga mangsa selamat.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button