Lubang benam sedalam satu meter dikesan berhampiran Kompleks Bunga Raya KLIA

Oleh – Syeikh Baran


Lubang benam sedalam satu meter dikesan berhampiran Kompleks Bunga Raya KLIA

Lubang benam dengan kedalaman satu meter dikesan berhampiran Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.



Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi hantaran di Facebook hari ini, memaklumkan lubang benam itu dikesan dekat laluan FT26 di jalan masuk Kompleks Bunga Raya.

Laluan di sekitar kawasan itu masih boleh digunakan, namun jalan berhampiran lubang benam terbabit sudah ditutup.

“Pemeriksaan di tapak mendapati terdapat satu ‘manhole’ kumbahan milik KLIA yang berada berhampiran kawasan lubang benam. Disyaki kebocoran paip kumbahan menjadi punca lubang benam,” menurut KKR.

Menurut makluman itu lagi, kejadian lubang benam terbabit sudah dimaklumkan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang sudah melaksanakan pemasangan pelan pengurusan trafik (TMP) di kawasan kejadian.



“Laporan terperinci akan dikeluarkan MAHB selepas selesai siasatan, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memberikan bantuan sekiranya diperlukan MAHB,” menurut hantaran itu lagi.

Punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan. BH masih berusaha mendapatkan maklum balas MAHB berhubung kejadian berkenaan.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button