KPDN kompaun 12 syarikat GISBH RM4.4 juta

Oleh – Syeikh Baran


KPDN kompaun 12 syarikat GISBH RM4.4 juta

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) telah mengenakan kompaun sebanyak RM4.4 juta terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) atas pelanggaran undang-undang berkaitan Akta Syarikat, Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT), dan Akta Pendaftaran Perniagaan.



Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, langkah ini diambil setelah semakan terhadap entiti perniagaan mendapati beberapa syarikat di bawah nama GISBH tidak mematuhi peraturan-peraturan kewangan dan undang-undang perniagaan.

Dia turut menjelaskan bahawa GISBH menggunakan pelbagai entiti perniagaan dalam operasinya, melibatkan sebanyak 17 syarikat berdaftar secara rasmi di bawah syarikat berkenaan.

Daripada jumlah itu, 12 syarikat didapati melanggar peraturan perundangan dengan tidak mengemukakan penyata kewangan yang telah diaudit seperti dikehendaki undang-undang.

“Setakat ini, hasil siasatan mendapati terdapat 17 syarikat atau entiti perniagaan yang didaftarkan atas nama GISBH, dan dari segi rangkaian serta kaitan perniagaan, syarikat-syarikat ini mempunyai hubungan meluas dengan entiti lain.



“Dari segi rangkaian dan hubungan entiti perniagaan, syarikat yang menggunakan nama GISBH atau Ikhwan kini mencecah sebanyak 201 entiti,” katanya selepas berucap di majlis perasmian TikTok Shop Seller Summit 2024, di sini hari ini.

Sementara itu, KPDN turut menegaskan bahawa peranan mereka dalam siasatan ini adalah memastikan kepatuhan kepada perundangan melibatkan syarikat-syarikat terbabit.

“Setakat ini, KPDN mendapati bahawa syarikat-syarikat di bawah GISBH gagal mematuhi beberapa tanggungjawab penting seperti mengemukakan laporan kewangan tahunan dan penyata yang diwajibkan.

“Walaupun tiada aduan rasmi daripada orang awam, tindakan diambil berdasarkan siasatan dalaman yang mendapati ketidakpatuhan terhadap Akta Syarikat dan peraturan-peraturan lain,” ujarnya.



Meskipun begitu, pihak KPDN menegaskan bahawa tanggungjawab penuh bagi siasatan kes ini masih di bawah kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebarang perkembangan atau pengumuman lanjut mengenai siasatan katanya, akan dikeluarkan oleh pihak PDRM.

KPDN turut menyatakan bahawa siasatan terhadap GISB akan diteruskan dan mereka akan terus memberikan kerjasama penuh kepada PDRM untuk melengkapkan siasatan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button