Pekebun mengeluh, harga durian merudum kerana hujan

Oleh – Syeikh Baran


Pekebun mengeluh, harga durian merudum kerana hujan

Pekebun-pekebun di Vietnam menjual durian Monthong gred tinggi pada harga AS$2.64 (RM10.80) hingga AS$2.84 (RM11.70) bagi satu kilogram, turun 25 hingga 30 peratus berbanding harga pada permulaan musim Julai lalu.



Laman berita VN Express melaporkan, durian gred B berharga AS$2.22 (RM9.10) AS$2.55 (RM10.50) sekilogram, dengan penurunan yang sama berbanding Julai. Harganya juga 10 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.

Seorang petani di Central Highlands, wilayah Dak Lak, Minh Thanh berkata, dia berharap harga durian akan pulih menjelang akhir musim ini.

Bagaimanapun, cuaca hujan lebat yang berpanjangan telah menjejaskan kualiti buah, menyebabkan harga jualan menjadi rendah di kebun.

Bagi seorang lagi pekebun dikenali sebagai Hong Anh, penurunan harga durian disebabkan oleh kualiti buah yang berkurangan akibat hujan berlebihan.



Ia berlaku terutamanya di kebun baharu yang tidak mempunyai teknik penanaman yang betul. 

Selain itu, Anh berkata, buah-buahan yang keras menyukarkan eksport, dengan kebanyakannya dimakan di dalam negara.

Jabatan Am Kastam Vietnam melaporkan bahawa dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, Vietnam mengeksport 476,130 tan durian yang bernilai AS$1.6 bilion (RM6.6 bilion).

Ia mewakili peningkatan 50.5 peratus dalam volum dan 49.4 peratus bagi nilai berbanding tempoh yang sama tahun lalu.



Bagaimanapun, Julai menyaksikan penurunan 30.8 peratus dalam kedua-dua nilai dan volum berbanding Jun, dengan nilai eksport hanya AS$280 juta (RM1.1 bilion). 

Eksport terus merosot kepada AS$200 juta (RM820 juta) pada bulan Ogos. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button