Tragedi Lahad Datu: Nasib ‘Sultan Sulu’, 6 lagi warga Filipina diketahui esok

Oleh – Syeikh Baran


Tragedi Lahad Datu: Nasib ‘Sultan Sulu’, 6 lagi warga Filipina diketahui esok

Nasib tujuh warga Filipina yang kekal ke tali gantung selepas didapati bersalah dalam tragedi pencerobohan berdarah di Lahad Datu, Sabah 11 tahun lalu akan didengar di Mahkamah Persekutuan di sini, esok.



Keputusan sama ada semua mereka berjaya dalam permohonan semakan untuk mengetepikan hukuman gantung itu akan ditentukan oleh panel-panel hakim yang akan mendengar permohonan semakan tersebut.

Ketujuh-tujuh mereka itu selaku pemohon ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram yang mengakui dirinya Sultan Sulu dan enam individu lain iaitu Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H. Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.

Mereka memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.



Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun.

Bagaimanapun, dua lagi individu iaitu Ismail Yassir dan Salib Akhmad Emali tidak mengemukakan bagi semakan itu.

Pada 15 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap sembilan anggota pengganas warga Filipina itu selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk diringankan.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, sebulat suara membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa hukuman mati adalah paling wajar berdasarkan dapatan fakta dalam kes berkenaan.



Dalam prosiding enam tahun lalu itu, Raus dalam penghakimannya, berkata mahkamah membuat keputusan bagi sabitan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan berdasarkan dapatan oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Katanya, panel Mahkamah Persekutuan tiada alasan untuk mengubah keputusan kedua-dua mahkamah berkenaan.

Beliau berkata, mahkamah menolak rayuan terhadap sabitan dikemukakan sembilan tertuduh selaku perayu selepas berpandangan sabitan berkenaan adalah selamat.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed.



Pada 8 Jun 2017, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadap semua perayu.

Mahkamah itu bagaimanapun mengubah hukuman penjara sepanjang hayat yang dikenakan hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 26 Julai 2016 kepada hukuman mati selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi hukuman.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button