Banjir Selangor: Pertelingkahan Pemimpin Tidak Akan Menyurutkan Air
Banjir Selangor: Pertelingkahan Pemimpin Tidak Akan Menyurutkan Air
Pemimpin mestilah bijak membezakan antara kepentingan rakyat dengan kepentingan politik.
Apabila rakyat memerlukan mereka, pemimpin mestilah memberikan keutamaan rakyat.
Kerana kuasa yang ada pada mereka sekarang, datangnya dari mandat yang rakyat berikan kepada mereka.
Dan rakyat memberikan mandat supaya dengan kuasa yang mereka ada akan dapat membantu rakyat ketika di timpa kesusahan.
Kita semua maklum, banjir yang sedang dan bakal berlaku sekarang ini dijangka akan menjadi antara yang terburuk.
Malah hampir setiap hari, Jabatan Meteorologi atau MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut di beberapa bahagian di Malaysia.
Hujan lebat yang berlaku hampir setiap hari sudah pasti akan mengakibatkan banjir dan banjir kilat.
Sepatutnya sekarang ini, pemimpin menumpukan perhatian bekerjasama dengan NADMA dan pelbagai agensi yang lain dalam membantu rakyat.
Bukan saling berbalas kritikan di dalam media.
Tetapi sebaliknya sedang berlaku di negeri Selangor.
Sedang rakyat bergelut dengan masalah banjir, pemimpin PKR dan PAS Selangor dilihat saling mengkritik.
Ianya bermula apabila Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, mengecam Kerajaan Selangor atas banjir yang berlaku di negeri itu.
Beliau mendakwa ia tidak sepatutnya berlaku kerana Selangor adalah antara negeri yang paling banyak menerima peruntukan tebatan banjir dari kerajaan persekutuan.
Kecaman itu kemudiannya dijawab oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad.
Beliau menganggap kenyataan Sukri Omar itu sebagai bodoh sombong.
Kenyataan itu dibalas pula oleh Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Selangor, Kamarul Jamaluddin yang menyarankan agar Menteri Besar Selangor ditukar.
Tidak berdiam diri, gesaan Kamarul dijawab semula oleh Saifuddin dengan menyarankan agar 4 menteri besar negeri pentadbiran PAS juga ditukar.
Alasannya adalah kerana kesemua negeri dibawah pentadbiran PAS menghadapi masalah banjir yang lebih teruk.
Berhentilah dari perbalahan terbuka ini.
Rakyat sedang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa dan harta akibat dari banjir yang melanda.
Perbalahan terbuka ini tidak akan menyurutkan air banjir.
Banjir Selangor: Pertelingkahan Pemimpin Tidak Akan Menyurutkan Air
Di Syorkan Untuk Anda:
- Pertembungan Mahathir Dengan Muhyiddin Atau Hamzah Dengan Azmin Dalam Pemilihan PPBM
- Tanpa Isu 3R Pemimpin PAS Lesu
- Tahun Melawat Uzbekistan 2024