90 penduduk Langkawi teruja rasai pengalaman pertama kali naik helikopter

a9443dff6e504418a5cd5a80e10fede05fb767fcebd2e

LANGKAWI, 20 Nov — Sembilan puluh penduduk sekitar pulau peranginan ini teruja apabila julung kalinya merasai pengalaman menaiki helikopter, lebih menarik peluang tersebut diberikan secara percuma menerusi program kerjasama antara Heli Outpost Sdn Bhd dengan sebuah syarikat swasta yang sudi membuat penajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Heli Outpost Sdn Bhd, Faiz Fahmi Sazali berkata pihaknya menerima penajaan berjumlah RM10,000 dari Ultra Saham Consultant Trading untuk program khidmat masyarakat (CSR) tersebut.

“Hari ini seramai 90 orang penduduk sekitar Langkawi yang terpilih merasai pengalaman pertama menaiki helikopter model Robinson R44 berkapasiti empat penumpang termasuk juruterbang. Mereka yang terpilih diterbangkan selama lima minit oleh juruterbang Kapten Barnabas Koh, melihat pemandangan menarik di sekitar Pantai Chenang.



“Selain program CSR, penajaan ini juga bertujuan membantu serta menghidupkan semula industri pelancongan Langkawi yang kini terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ultra Saham Consultant Trading, Mohamad Firdaus Abd Rahim berkata pihaknya terpanggil untuk melakukan penajaan kerana menyedari keadaan pengusaha pelancongan di Langkawi yang terjejas akibat pandemik COVID-19, malahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus memberi tekanan kepada mereka.

“Menerusi program ini kami mahu mereka yang terpilih dapat rasai pengalaman baharu menaiki helikopter kerana ada antara mereka yang kurang berkemampuan. Penajaan ini juga bertujuan membantu serta menyokong industri pelancongan di pulau ini yang terjejas teruk ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ikromi Mansor bersyukur impiannya bersama isteri serta dua anak masing-masing berusia empat dan setahun untuk menaiki helikopter termakbul.



“Anak perempuan saya Ummu Amni yang berusia empat tahun paling teruja apabila kami sekeluarga terpilih untuk menyertai program hari ini. Program ini bagus kerana memberi peluang selain menyokong industri pelancongan Langkawi, saya sendiri akan berkongsi pengalaman naik helikopter dengan rakan-rakan lain supaya apabila datang ke pulau ini mereka juga dapat cuba rasai pengalaman menarik ini,” katanya.

Langkawi ‘nazak’, persatuan pelancong, pengusaha feri rayu PKPB ditamatkan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button