Kolam takungan banjir jadi taman rekreasi, beri manfaat kepada komuniti

07/12/2020 02:02 PM

Oleh Norhidayu Zainal

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Atas keprihatinan penduduk setempat terutamanya di Parlimen Bandar Tun Razak di sini, Kolam Takungan Banjir Sungai Midah yang dahulunya hutan dan dipenuhi semak samun kini berubah wajah menjadi sebuah kawasan tumpuan orang ramai untuk kemudahan beriadah dan rekreasi.



Ia dibangunkan hasil penyatuan komuniti bersama dari Kampung Malaysia Raya, Kampung Malaysia Tambahan, Pangsapuri Sri Malaysia, Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia dan PPR Desa Petaling dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sejak lima tahun lepas.

Pengerusi Kelab Pencinta Alam Kolam Takungan Banjir Sungai Midah, Mohd Zainuddin Amran berkata masyarakat setempat memerlukan sebuah kawasan lapang bagi melakukan pelbagai aktiviti sihat dan lokasi yang berkeluasan hampir 20 hektar itu dilihat sangat strategik.

“Kolam ini dibina oleh JPSWPKL pada 2008 dan asalnya, tempat ini adalah kawasan larangan untuk dimasuki orang awam kerana ia merupakan bekas lombong.

 



 

“Bagaimanapun, kami penduduk setempat merasakan kawasan ini berpotensi untuk dijadikan taman rekreasi dan akhirnya selepas sekian lama berunding dengan JPSWPKL, mereka mempertimbangkan dan membenarkannya dengan syarat ia dijaga dengan baik,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, sejak kewujudan taman rekreasi itu, ramai penduduk memanfaatkannya dengan pelbagai aktiviti riadah seperti berjoging, bersenam, memancing, beristirahat bersama keluarga dan terbaharu melalui aktiviti berkebun terutama ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Tambah Mohd Zainuddin, lokasi berkenaan juga menjadi jalan pintas yang menghubungkan Pangsapuri Sri Malaysia, PPR Seri Malaysia dan PPR Desa Petaling dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Laluan ini menjadi pilihan penduduk setempat untuk urusan seharian bagi mendapatkan perkhidmatan bas dan tren.

“Kami bersyukur apabila laluan sejauh lebih satu kilometer (km) ini yang dahulunya hanya tanah berlecak akhirnya dinaik taraf kepada trek pejalan kaki sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan penyertaan individu dan syarikat korporat selain berharap agar kerjasama antara agensi dapat dipertingkatkan dalam membantu menyediakan infrastruktur bagi kemudahan pengunjung yang datang ke situ.



Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Malaysia Nurzaidi Maaini berkata pihaknya turut menggalakkan setiap komuniti melakukan aktiviti berkebun di sepanjang lereng bukit bagi mengelakkan kawasan tersebut dipenuhi semak samun dan berhutan.

Program yang diusahakan penduduk itu bukan sahaja mampu menjimatkan belanja dapur dan menjana pendapatan sampingan malah mengeratkan lagi hubungan antara komuniti sekali gus menjadi simbol muafakat.

“Kami mahu setiap lereng bukit ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti di sini dengan aktiviti berkebun kerana ia bukan sekadar hobi yang baik tapi juga satu keperluan terutamanya dalam mendapatkan sayuran yang bebas racun,” katanya sambil menambah pihaknya akan mengadakan aktiviti gotong-royong pada setiap minggu.

Menurut beliau, tanaman seperti cili, kubis, bayam Brazil, serai, kangkung, ubi dan kacang panjang itu bukan sahaja ‘mengindahkan’ landskap di kawasan berkenaan, malah mewujudkan komuniti petani moden atau kebun bandar di tengah kesibukan kehidupan warga ibu kota.



“Berkebun juga bermanfaat sebagai ganti riadah kerana ia juga mengeluarkan peluh. Jadi ini adalah peluang dan ruang terbaik bagi komuniti di sini untuk lebih aktif berkebun,” katanya.

Penduduk, Abdul Rahman Yusof, 56, berkata setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi komuniti berkenaan turut bertanggungjawab dalam memantau tahap keselamatan di kawasan itu.

“Dua kali seminggu, setiap ahli KRT akan bergilir-gilir melakukan rondaan terutamanya pada waktu malam bagi menjamin keselamatan penduduk yang melalui kawasan ini.

“Kita sedang berusaha untuk memasang lampu solar bagi menerangi kawasan ini,” katanya yang juga Pengerusi KRT PPR Sri Malaysia.



Seorang lagi penduduk, Zakaria Abdullah, 56, pula mencadangkan agar kawasan ini dilengkapi dengan kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, wakaf istirahat, tandas serta tong sampah bagi menjamin kebersihan dan keindahan taman berkenaan.

“Di sepanjang trek pejalan kaki, dapat dilihat ia telah dilengkapi dengan bangku-bangku rehat selain pelbagai tanaman sayuran dan ternyata kawasan ini sememangnya berpotensi untuk dibangunkan serta dicantikkan seperti mana taman rekreasi lain kerana segala usaha yang dibuat memberi manfaat kepada kami,” katanya.

‘GERAK KHAS THE FINALE’ DI TV3 BUKAN RTM – YUSOF HASLAM ‘KUNCI MULUT’

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button