Polis marin gagalkan cubaan seludup burung murai batu
10/12/2020 09:57 PM
KOTA TINGGI, 10 Dis — Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 260 ekor burung murai batu ke negara jiran dalam Op Benteng COVID-19 di kawasan pantai Sungai Rengit, Pengerang, malam tadi.
Komander PPM Wilayah Dua Pengerang ACP Muhd Zailani Abdullah berkata anggota PPM mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu semasa menjalankan operasi kira-kira pukul 8.30 malam dan mengekorinya sebelum memintas serta menahan kenderaan suspek.
“Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun ditahan dan merampas 260 ekor burung disyaki murai batu serta menyita kereta yang digunakan suspek.
Anggaran keseluruhan nilai rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM108,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhd Zailani, burung murai dari Malaysia menjadi kegilaan dan buruan masyarakat negara jiran kerana fizikalnya cantik dan bersuara nyaring, selain bermutu tinggi dan harga seekor burung murai mampu mencecah ribuan ringgit di pasaran Indonesia.
Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah 2 Pengerang untuk disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
ESSCom sahkan rompakan laut di Pulau Burung, libat kelompok dalaman