Tukar MB tiga kali sejak PRU14, cerminan kegagalan kepimpinan politik – Sultan Nazrin
10/12/2020 03:48 PM
KUALA KANGSAR, 10 Dis — Pelantikan Menteri Besar Perak sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan sejarah yang perlu dibanggakan tetapi merupakan cerminan kegagalan kepimpinan ahli-ahli politik untuk mendapatkan jaminan sokongan padu secara konsisten.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah kegagalan itu menyebabkan ahli-ahli politik tidak boleh menumpukan fikiran dan tenaga untuk mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat.
Titah baginda, istiadat pelantikan Menteri Besar yang telah tiga kali diadakan sejak PRU14 juga mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini.
“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan, perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan,” titah Sultan Nazrin pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.
Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14.
Baginda bertitah rakyat menaruh kepercayaan dan meletakkan harapan kepada wakil rakyat untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi serta membantu memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.
Titah baginda, rakyat pelbagai kaum dan agama dalam semua kawasan diwakili Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) mempunyai keperluan dan harapan yang sama, menanggung penderitaan serta menagih perhatian yang sama.
“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik COVID-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.
“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Illahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” titah baginda.
Sultan Nazrin juga bertitah insan beriman akan cekal menegakkan yang makruf, menentang kemungkaran dan kekuatannya, perlindungan dan benteng ketahanan kepada dirinya datang daripada llahi.
“Dia tidak perlu menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan, begitu juga dia tidak perlu melakukan ugutan atau ancaman untuk membina kekuatan diri kerana kekuatan yang diperoleh secara demikian teramat rapuh sifatnya,” titah Sultan Nazrin.
Terkenal sebagai Sultan yang sering membuat teguran secara lantang, Sultan Nazrin bertitah sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, memiliki kekayaan dan harta sehingga lenyap budaya kesederhanaan dan merendah diri, sebaliknya menjelmakan sifat sombong dan gelagat bongkak.
“Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin telah berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan,” titah baginda.
Sultan Nazrin dalam pada itu turut menzahirkan titah terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang telah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018 serta kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atas perkhidmatan diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap para petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta, Ipoh dalam keadaan panas terik dan berhujan demi melaporkan serta menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat jelata.
“Demikian juga kepada para anggota polis yang telah membantu mengawal keadaan bagi membolehkan pelbagai pihak melaksanakan tugas masing-masing secara tenteram dan teratur,” titah Sultan Nazrin.
Sultan Nazrin titah parti politik cari formula terbaik bentuk kerajaan Perak baharu