AG tarik balik rayuan berhubung perintah penggantungan sementara diperoleh Hamid Sultan


Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer

23/12/2020 05:48 PM

PUTRAJAYA, 23 Dis — Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun hari ini menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggantungan sementara prosiding inkuiri Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, yang dijadualkan berlangsung pada 25 Nov lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Mohd Sabri Othman memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mewakili perayu (Idrus), menarik balik rayuannya yang difailkan pada 23 Nov terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Nov lepas.



“Kami dimaklumkan yang pihak responden (Hamid Sultan) tiada bantahan terhadap permohonan ini dan tiada isu berkaitan kos,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata notis pemberhentian rayuan itu tidak difailkan kerana peguam Hamid Sultan tidak bersetuju berdasarkan “fakta dan hal keadaan kes ini.”

Mohamad Zabidin, yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Darwryl Goon Siew Chye kemudian membatalkan rayuan itu tanpa kos.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya telah membenarkan perintah penggantungan sementara kepada Hamid Sultan sehingga permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan JEC mengadakan prosiding siasatan terhadap beliau secara tertutup, yang ditetapkan untuk pendengaran pada 10 Dis lepas.



Mahkamah itu kemudian melanjutkan perintah penggantungan itu sementara menunggu keputusan bagi mendapatkan kebenaran memfailkan semakan kehakiman yang akan didengar pada 21 Jan tahun depan.

Peguam Persekutuan M. Kogilambigai turut memaklumkan panel itu bahawa AG telah memfailkan rayuan baharu terhadap perintah pelanjutan penggantungan sementara bersama dengan sijil perakuan segera minggu lepas bagi membolehkan kes itu didengar secepat mungkin.

Terdahulu, peguam utama Hamid Sultan iaitu Datuk Bastian Pius Vendargon memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya berasa terganggu dengan desakan agar kes itu ditetapkan untuk pendengaran pada tarikh awal, antara Krismas dan Tahun Baharu.

“Ini kerana peguam seperti saya dan Datuk Joy Wilson Appukuttan meraikan Krismas meskipun kes ini mempunyai kepentingan awam,” katanya.



Mohamad Zabidin berkata mahkamah akan berunding dengan pihak yang terbabit sebelum menetapkan tarikh pendengaran rayuan itu dan satu panel hakim akan dilantik selepas pendaftar menetapkan tarikh tersebut.

Selepas itu, semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Kanan N. Kanageswari, mahkamah menetapkan 14 Jan tahun depan untuk mendengar rayuan tersebut.

Hamid Sultan memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Okt lepas dengan menamakan pengerusi JEC dan JEC sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau meminta perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden sebagaimana dinyatakan dalam surat responden pertama bertarikh 28 dan 29 September selain deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah dan batal serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Persekutuan Perlembagaan.



Beliau turut memohon satu deklarasi bahawa pewujudan panel tujuh anggota jawatankuasa itu untuk mendengar dan memutuskan aduan dibuat terhadapnya adalah melanggar prosedur serta peraturan undang-undang.

Hakim itu memohon deklarasi bahawa responden pertama sebagai pengerusi jawatankuasa itu, tidak layak mendengar atau memutuskan aduan dibangkitkan dalam usul responden pertama bertarikh 10 Ogos.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat adalah Pengerusi JEC ketika ini.

Dalam afidavit sokongan difailkan bersama semakan kehakiman, Hamid Sultan berkata, permohonan itu dibuat sebagai membantah keputusan JEC yang tidak membenarkan permintaan beliau agar prosiding terhadapnya didengar dalam satu forum terbuka.



Beliau berkata, permohonan itu difailkan berdasarkan keputusan responden pertama untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain membabitkan penghakimannya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso dan satu lagi serta afidavit disahkannya bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan bapanya mendiang Karpal Singh.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button