Asas-Asas Untuk Memulakan Perniagaan Francais di Malaysia
Ikut gerak hati anda dan pilih bisnes yang sesuai bagi diri anda.
Berminat nak ceburi bidang perniagaan? Tentu banyak yang nak difikirkan! Keputusan untuk menceburi bidang perniagaan tentunya merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan ramai individu di luar sana. Jika anda adalah salah seorang dari individu tersebut tentunya anda mempunyai banyak persoalan. Salah satunya, bentuk perniagaan apa yang anda mahu ceburi? Anda boleh memulakan perniagaan anda sendiri dengan membeli atau mengambil alih perniagaan yang sudah sedia dibina. Cara yang kedua, adalah dengan memilih model francais yang telah mempunyai sistem serta jenama tersendiri yang terkemuka. Kedua-dua pilihan ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Terpulang pada anda untuk memilih yang mana yang
sesuai.
Para peniaga yang berjaya selalu ditanya apakah kunci kejayaan mereka?
Dan ramai sekali yang mengatakan bahawa kunci utama kejayaan sesebuah perniagaan terletak pada semangat dan cinta yang mendalam terhadap produk dan perniagaan tersebut.
Peniaga yang mempunyai tahap semangat yang tinggi selalunya percaya pada diri sendiri dan tidak takut mengambil risiko. Mereka juga percaya kepada kehebatan produk dari perniagaan mereka dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan pelanggan. Selain daripada semua ini, jika anda hendak ceburi bidang perniagaan, anda kenalah berfikir seperti ‘seorang peniaga’! Anda mahukan keuntungan bukan?! Semua keputusan berkaitan dengan perniagaan perlulah dinilai dari segi keuntungan dan pulangan modal.
Jika anda nak mulakan perniagaan menggunakan sistem francais, anda perlu buat banyak perbandingan dengan perniagaan biasa atau tradisional. Yang penting sekali anda perlu buat penilaian terhadap diri sendiri. Umpamanya tanya diri anda, adakah anda seorang individu yang boleh menjalankan perniagaan berpandukan sistem yang telah diatur rapi atau mungkin anda memerlukan kebebasan untuk melakukan eksperimentasi dan inovasi terhadap produk dan perniagaan anda? Adakan anda jenis individu yang sukakan seratus peratus kebebasan dalam semua pekerjaan yang anda lakukan atau anda lebih gemar menjalankan perniagaan berpandukan sistem lengkap yang telah sedia ada secara seratus peratus? Fikirkanlah dan ikut gerak hati anda yang mana lebih sesuai bagi diri anda!
Secara amnya dari segi kos dan pendapatan, sistem francais tentunya mempunyai kadar harga tertentu kerana anda perlu membeli sistem yang telah ditetapkan. Tetapi kos akan selalu ada tidak kira jenis perniagaan apa pun yang anda jalankan. Dalam ruangan ini, kami ingin berkongsi bersama anda kelebihan dan kelemahan sistem francais. Di harapkan, maklumat yang kami paparkan ini dapat membantu anda dalam membuat keputusan dari segi pemilihan jenis atau bentuk perniagaan.
Sebelum itu mari kita tinjau dahulu apa yang dimaksudkan dengan sistem perniagaan francais ini. Perkataan “francais” berasal dari bahasa Peranchis lama iaitu “fraunchise” yang bermaksud bebas atau “freedom”. Mengikut sistem perniagaan ini, pemilik perniagaan dinamakan sebagai “Francaiser” dan peniaga yang membeli dan menggunakan model perniagaan francaiser dinamakan sebagai “francaisi” (Franchisee). Francais bermaksud satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat pemberi francais (francaisor) memberi kebenaran, hak atau keistimewaan kepada seseorang individu atau syarikat pemegang francais (francaisi) untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan dalam jangkamasa tertentu dan pada lokasi yang ditentukan.
Menurut Persatuan Francais Malaysia (MFA), dari sudut konsep komersial francais adalah satu kaedah pemasaran yang berasaskan pemberian hak dan tanggungjawab bagi menjalankan sesuatu perniagaan menggunakan tanda nama atau tanda niaga, sistem, lokasi atau kawasan dan jangka masa yang ditentukan.
Dari sudut perundangan (Akta Francais) pula, francais adalah kontrak atau perjanjian sama ada secara nyata atau tersirat, secara lisan atau tertulis di antara 2 orang atau lebih. Dalam kata lain, francaisor memberi francaisi hak untuk mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais yang ditentukan oleh francaisor selama tempoh yang ditentukan oleh francaisor.
Francaisor akan menyediakan produk dan sistem perniagaan manakala francaisi akan menyediakan modal dalam bentuk dana, sumber manusia dan usaha berterusan untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Francais adalah satu amalan perniagaan di mana sebuah syarikat diberi hak untuk mengendalikan perniagaan serupa dengan sesuatu syarikat lain dengan menggunakan jenama, model dan operasi perniagaan syarikat berkenaan. Bagi pemilik perniagaan atau francaisor, francais merupakan alternatif untuk mengembangkan perniagaan melalui pelaburan pihak ketiga (francaisi).
Baiklah, ruangan di atas sudah pun menjelaskan sedikit sebanyak tentang sistem perniagaan francais ini. Sekarang mari kita lihat kelebihan dan kelemahan sistem ini supaya pembaca di luar sana dapat memanfaatkan informasi ini.
Kelebihan Sistem Francais
1. Pengurusan kos yang cekap dan sistematik
Perubahan masa dan keadaan ekonomi yang kian berkembang memberi impak pada kos bahan mentah, utiliti dan kadar upah pekerja. Kos yang kian meningkat ini tentunya memberi kesan kepada keuntungan perniagaan dalam semua jenis industri. Walaupun demikian, peniaga amat berhati-hati apabila meningkatkan harga jualan produk dan perkhidmatan mereka kerana khuatir akan kehilangan pelanggan.
Tetapi, melalui sistem francais, kecekapan perniagaan dapat ditingkatkan dan pada masa yang sama kos dapat diurus dengan cara sistematik dan seterusnya diminimakan. Dengan adanya rangkaian francaisi yang aktif, francaisor dapat merancang pembelian bahan mentah, membeli secara pukal, berkongsi kos untuk aktiviti-aktiviti pemasaran, merancang kakitangan mengikut keperluan, membina jenama dalam pasaran untuk menarik perhatian pelanggan dan seterusnya memindahkan kesemua penjimatan kos ini kepada rangkaian francaisi.
2. Ikatan dan rangkaian antara peniaga
Sistem francais dapat membina satu hubungan dan jaringan peniaga yang kukuh dan sukar digugat pesaing sekiranya objektif program diikuti oleh semua peniaga (francaisor-francaisi) yang terlibat dalam program ini. Ini adalah kerana perniagaan seperti ini boleh berkembang di merata dunia asalkan francaisi akur dan mengikuti sistem yang telah diatur rapi oleh francaisor.
3. Risiko yang minima
Melalui sistem francais, risiko perniagaan dapat diminimakan dan diuruskan dengan lebih berkesan terutama bagi peniaga yang baru sahaja menceburi dunia perniagaan. Seperti yang dibincangkan sebelum ini, francaisi hanya perlu mengikut sistem yang telah ditetapkan. Bagi francaisor pula, stok dan sumber manusia dapat diuruskan dengan lebih cekap jika dibandingkan dengan perniagaan biasa di mana peniaga terpaksa membuka rangkaian atau “outlet” sendiri. Di samping itu, francaisor juga tidak perlu membuat pelaburan yang tinggi untuk membuka rangkaian di merata lokasi.
4. Peluang untuk memperkembangkan perniagaan dan memperolehi pasaran yang besar
Bagi perniagaan baru, sudah tentu produk yang dikeluarkan tidak mempunyai kekuatan dari segi jenama. Bagi perniagaan biasa, ini merupakan halangan besar di mana peniaga sukar untuk mencari lokasi jualan. Disini, perniagaan francais mempunyai kelebihan di mana peniaga boleh memasuki pasaran baru kerana di lokasi-lokasi tertentu pemilik lot kedai atau pihak pengurusan bangunan lebih berminat dan yakin untuk menawarkan lokasi atau lot kedai untuk disewa kepada perniagaan berangkaian. Jenama yang terkenal dan maju tentunya sukar untuk ditolak berbanding dengan jenama baru yang berkemungkinan menghadapi kesukaran dari segi jualan. Bagi francaisor pula, rangkaian francaisi memberikan peluang kepada jenama francaisor berada di merata tempat dan negara yang barangkali tidak dapat ditembusi oleh francaisor kerana francaisi mungkin mempunyai hubungan yang lebih baik dengan pemilik atau pihak pengurusan lokasi atau lebih mengetahui tempat yang ingin diterokai.
5. Tahap kecekapan yang semakin tinggi
Pada peringkat permulaan perniagaan francais ini sudah tentu terdapat francaisi yang tiada keupayaan untuk mengupah para pekerja yang cekap dan berkelayakan bagi membantu operasi harian perniagaan. Tetapi melalui sistem francais, francaisor dapat memberi panduan dan khidmat nasihat operasi perniagaan secara berterusan kepada francaisi. Pada masa yang sama, francaisor dapat memberi sokongan khidmat nasihat terutama sekali dalam bidang kesetiausahaan dan perakaunan mengikut jadual yang ditetapkan kepada francaisi pada kadar minima. Bagi peniaga baru, ini adalah peluang keemasan untuk mempelajari kejayaan di sebalik perniagaan yang sudah sedia ada dan terkenal.
Anda dah pun melihat beberapa kelebihan perniagaan francais. Apa pula kelemahannya? Mari kita lihat dan bandingkan!
Kelemahan sistem perniagaan francais
1. Modal yang diperlukan amat tinggi!
Harap anda tak terperanjat! Tetapi, kalau nak guna jenama popular tentulah kosnya tinggi bukan? Kos untuk mendapatkan hak menggunakan jenama dari francaisor adalah tinggi dan francaisi juga perlu membayar kos-kos lain seperti :-
- Yuran Francais – Yuran francais merupakan satu jumlah yang besar dan tidak dikembalikan. Francaisi juga perlu membayar kos sewa, deposit, pembelian aset dan pengubahsuaian kedai.
- Royalti Bulanan – Royalti dibayar mengikut peratus jualan bulanan. Francaisi perlu membayar royalti walaupun tidak memperolehi keuntungan, walaupun francaisor tidak membantu perniagaan francaisi kerana francaisi menggunakan jenama francaisor tersebut. Di Malaysia, terdapat isu berkenaan bayaran royalti ini di mana agensi kerajaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNS) (badan bertindak untuk francais Malaysia) mengarahkan supaya pembayaran royalti tidak lebih dari 5% jumlah jualan bulanan francaisi.
- Yuran Iklan – Yuran iklan yang dibayar digunakan oleh francaisor untuk mengiklankan jenama produk atau perkhidmatan dan untuk menarik lebih ramai francaisi. Tetapi ianya mungkin tidak mempromosikan perniagaan francaisi tersebut.
2. Kebebasan francaisi terhad
Untuk menjaga keseragaman, francaisor akan mengawal perniagaan francaisi. Kadang-kala, tindakan ini menghalang francaisi untuk bebas berniaga. Francaisi juga terpaksa akur dengan perjanjian yang di buat dengan francaisor. Perjanjian tersebut meliputi:-
- Pemilihan Lokasi– Francaisor akan memilih lokasi yang difikirkan sesuai dengan perniagaannya dan lokasi tersebut mungkin tidak sesuai dari sudut pandangan francaisi. Di dalam banyak kes, francaisi akan mencadangkan lokasi kepada francaisor. Francaisor akan melawat lokasi tersebut dan memberi pendapatnya samaada sesuai atau tidak. Jika tidak, francaisor akan membantu mencari kawasan yang difikirkan strategik.
- Hiasan Dalaman & Konsep Perniagaan – Terdapat francaisor yang akan menukar hiasan dalaman dan konsep perniagaan mengikut musim. Jadi, kos renovasi dan pengubahsuaian tersebut mungkin tidak mampu untuk ditanggung oleh francaisi. Kebiasaanya, francaisor akan selalu menukar konsep perniagaan, uniform & sistem komputer.
3. Kawalan Penjualan Produk dan Perkhidmatan
Francaisor akan mengawal setiap produk dan perkhidmatan perniagaan francaisi. Jadi, francaisi tidak boleh menjual produk dan perkhidmatan lain. Ada juga francaisor yang menghadkan bilangan stok yang dijual. Ini tentunya membuatkan francaisi berasa kurang senang.
4. Kawalan Pengendalian Operasi Perniagaan
Selain daripada itu, francaisor mengawal waktu operasi perniagaan, uniform pekerja, iklan serta promosi dan juga prosedur perniagaan. Harga jualan juga dikawal sehingga francaisi tidak boleh memberi diskaun kepada pelanggan tanpa kelulusan. Pengedar juga perlulah dari pengedar yang diluluskan oleh francaisor, walaupun francaisi boleh mendapatkan barang dari pengedar yang lebih murah.
5. Penjualan produk yang ditetapkan sahaja.
Penglibatan serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan inovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.
Berikut adalah sedikit sebanyak yang dapat kami kongsikan bersama anda tentang beberapa kelebihan dan kelemahan perniagaan francais. KFC, Mcdonalds dan 7-Eleven adalah beberapa contoh perniagaan francais yang ada di Malaysia. Pada yang berminat, diharapkan maklumat yang dipaparkan ini dapat membantu anda.
sumber : http://www.butterkicap.com/bisnes-makan/asas-sistem-francais