ATA25 tukar lokasi ke Singapura

KUALA LUMPUR: Anugerah Televisyen Asian (ATA) Ke-25 yang sepatutnya diadakan di Phnom Penh, Kemboja, selama dua hari mulai 15 Januari ini, beralih lokasi ke Singapura.

Malah, acara yang sepatutnya berlangsung tiga hari sejak edisi ke-23, disingkatkan kepada dua hari. Kenyataan media penganjur menyebut, format program juga berbeza berikutan pandemik COVID-19.

Acara pada malam pertama yang membabitkan penganugerahan bagi kategori teknikal dan kreatif bakal dirakam terlebih dahulu dan disiarkan dalam talian bermula jam 8 malam waktu Singapura, menerusi platform Facebook, Instagram, Twitter dan Weibo.



Sebanyak 30 anugerah akan disampaikan termasuk Pengarahan Terbaik bagi kategori bukan fiksyen. Sementara itu, acara hari kedua bakal dipancarkan secara langsung.

Pelbagai segmen menarik termasuk penampilan 30 selebriti dari seluruh Asia serta tayang semula penganjuran ATA selama 25 tahun, bagi menggantikan acara permaidani merah, tahun ini.

Selain media sosial, siaran langsung ATA juga akan dipancarkan menerusi kerjasama dengan rangkaian rakan penyiar seperti Formosa TV di Taiwan, Viu TV (Hong Kong); Jiangsu Broadcast (China); CignalColors dan TV5 (Filipina) serta Channel O, CitraEntertaiment dan The Indonesia Channel (Indonesia).

Sebanyak 20 anugerah akan disampaikan termasuk bagi kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik; Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik; Drama Siri Terbaik dan Pengarahan Terbaik (fiksyen).



Majlis pada malam itu akan dikendalikan beberapa hos iaitu Wallace Ang dan Benjamin Josiah Tan dari Singapura, Ji Xioa Jun (China), Anyarin Terathananpat (Thailand) dan Rennie Lau (Malaysia).

Penyanyi Ernie Zakri pula bakal menghiburkan penonton pada malam itu. Selain Ernie, penyanyi Lee Pei Ling turut mewakili negara.

Turut memeriahkan lagi acara adalah Alfred Sng, Sherraine Law, Haven dan Emiliano Cyrus dari Singapura.

Penyanyi dari Vietnam, Dat Ozy juga bakal menghiburkan penonton termasuk Sam Concepcion dari Filipina. Mereka bakal menghiburkan tetamu dan penonton selama dua malam berturut-turut.



ATA adalah acara yang menghimpunkan syarikat penyiar media dan eksekutif media berpengalaman merangkumi Ketua Pegawai Eksekutif, Penerbit Eksekutif serta Pengarah.

Mereka adalah individu bertanggungjawab mempengaruhi pasaran televisyen di Asia mengenai pilihan filem yang harus ditayang, waktu tayangan dan judul sesuai.

ATA juga memberi peluang kepada syarikat penyiaran menghasilkan kandungan atau menjalin kerjasama dengan bakat dari rantau Asia.

Melalui kerjasama itu, ia mampu memberi kesedaran kepada penonton mengenai seni dan budaya, tempat tumpuan pelancong selain menjana peluang perniagaan.



BH Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button