COVID-19, pemulihan ekonomi China, RCEP antara berita utama pilihan CMG sepanjang 2020

29/12/2020 05:49 PM

BEIJING, 29 Dis — Tinggal beberapa hari lagi menjelang 2020 melabuhkan tirainya, Kumpulan Media China (CMG) pada Isnin mengumumkan 10 berita antarabangsa yang menjadi pilihan dan disifatkan terpenting tahun ini.

Antaranya berita mengenai kesepakatan masyarakat antarabangsa berkaitan kepentingan sains, meningkatkan sinergi dan perpaduan bendung pandemik COVID-19. Setakat 27 Disember, pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia telah meragut nyawa 1.75 juta orang.



Berita “Ulang Tahun Ke-75 Penubuhan PBB: Mempertahankan Multilateralisme dan Tingkatakan Kerjasama Antarabangsa” menyaksikan sidang kemuncak sempena memperingati ulang tahun itu meluluskan pengumuman untuk mempertahankan multilateralisme dan meningkatkan lagi kerjasama global.

Turut menjadi tumpuan, berita bertajuk “Ekonomi Dunia Terjejas Impak Negatif COVID-19, China Satu-satunya Entiti Utama Capai Pertumbuhan Positif”. Menurut unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi global akan meleset 4.4 peratus tahun ini. Bagaimanapun, ekonomi China yang pulih pantas, menjadikan negara itu entiti tunggal utama yang mencapai pertumbuhan positif.

“Pemeteraian RCEP 15 Negara Asia-Pasifik, Tingkatkan Keyakinan Pacu Ekonomi Dunia” juga mewarnai tahun 2020. Sebanyak 10 negara ASEAN, China, Australia, Jepun, Korea Selatan, dan New Zealand memeterai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 15 November, melibatkan populasi terbesar, struktur anggota pelbagai dan potensi pembangunan terbesar di dunia.

Tidak ketinggalan berita bertajuk “Sekatan Ekstrem AS kepada Iran, Tambah Ketidaktentuan Asia Barat”. Kes pembunuhan pemimpin tinggi Iran dan sekatan melampau ke atas negara itu, menggugat proses penyelesaian isu nuklear Iran.



Berita “Ulang Tahun Kelima Penandatanganan Perjanjian Paris” mengetengahkan mengenai kejayaan Sidang Kemuncak Climate Ambition yang diadakan secara maya pada 12 Disember selain memperingati ulang tahun kelima pengumuman Perjanjian Paris bagi menangani perubahan iklim.

CMG turut melaporkan mengenai mengenai “Zon Perdagangan Bebas Afrika Bakal Dilancarkan”. Bermula 1 Januari 2021, Kawasan Perdagangan Bebas Afrika akan beroperasi secara rasmi bagi menggalakkan perdagangan dalam benua, proses perindustrian Afrika dan membantu benua itu melibatkan diri dalam ekonomi global.

Berita “Krisis Ras Meruncing di AS” turut menjadi tajuk utama susulan tindakan kejam anggota polis yang menyebabkan kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd di Minneapolis pada 25 Mei lalu.

Kisah kejayaan China meneroka angkasa lepas juga mencuri tumpuan banyak pihak, menerusi berita “Pelbagai Negara Sertai Penerokaan Ke Bulan dan Marikh”. China berjaya melancarkan prob peninjau Tianwen-1 ke Marikh pada 23 Julai. Emiriah Arab Bersatu ( UAE) dan Amerika Syarikat(AS) pula melancarkan alat peninjau ke Marikh pada Julai. Selain itu, China berjaya mendaratkan prob penyelidikan angkasa lepasnya Chang’e-5 bagi misi mengumpul dan membawa pulang sampel dari bulan.



Turut menjadi pilihan, berita “Konflik antara Armenia dengan Azerbaijan”. Konflik antara Armenia dengan Azerbaijan di kawasan Nagorno-Karabakh tercetus semula pada 27 September lepas, mengakibatkan lebih 4,000 rakyat terbunuh dan ribuan penduduk hilang tempat tinggal.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button