Murga janji berikan yang terbaik buat TFC
Carli de Murga (Foto: YouTube)
03/01/2021 02:25 PM
KUALA NERUS, 3 Jan — Pemain berdarah kacukan Filipina-Sepanyol Carli de Murga, berjanji akan memberikan aksi yang terbaik kepada Terengganu FC (TFC), sepanjang musim 2021 ini.
Bekas pemain pasukan Liga Satu Thailand Chonburi FC itu berkata, beliau berazam untuk menggunakan pengalamannya beraksi beberapa kali dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketika bersama pasukan terdahulu, untuk membantu TFC menjulang piala yang sama tahun ini.
“Sebenarnya saya tidak suka membuat sebarang sasaran, sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok, jadi apa yang boleh saya janjikan ialah berikan yang terbaik dan saya pasti semua akan berikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.
Pemain berusia 32 tahun itu mengisi kuota pemain import Asean, menggantikan pemain kelahiran Singapura Muhammad Faris Ramli yang tidak disambung kontrak, dan Murga akan bermain di posisi pertahanan tengah skuad Penyu.
Murga yang bakal menyarung jersi nombor enam itu, terkenal dengan corak permainan fizikal yang agak keras ketika bersama Chonburi FC dan sentiasa berada dalam kesebelasan utama kelab tersebut.
Dalam pada itu Murga berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian bersama rakan sepasukan yang rata-rata lebih muda daripadanya, malah ia merupakan peluang untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran yang dimilikinya kepada mereka.
“Bagus untuk bersama pemain muda. Saya rasa muda semula dan saya boleh kongsikan pengalaman bersama pasukan. Kami harapkan sesuatu yang bagus tahun hadapan,” katanya yang mengakui menerima beberapa tawaran dari pasukan Liga Thailand, namun memilih untuk bersama TFC kerana ingin beraksi dalam kancah Liga Malaysia.