“MV ITU SUDAH DIKELUARKAN DARI YOUTUBE” – DAUS AF8 TAMPIL MOHON MAAF KEPADA BEKAS ISTERI
Susulan kenyataannya berhubung video muzik lagu ciptaannya berjudul ‘Takdir Kita’ yang dikatakan menggunakan kisah kehidupan perkahwinan dengan bekas isteri, penyanyi Daus Eli tampil memohon maaf.
Daus menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Instagram hari ini memohon maaf kepada bekas isterinya iaitu Syaza Shamimi Jalaludin Khan dan semua pihak yang terkait dengan video muzik tersebut.
Menurut Daus atau nama sebenarnya Muhammad Shahril Firdaus Eli, video muzik tersebut telah diturunkan dari YouTube oleh pihak syarikat Nova Music berikutan ia mengundang presepsi buruk terhadap bekas isterinya.
“Saya ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas isteri dan semua pihak yang terlibat. Selain itu, tujuan kenyataan rasmi ini dikeluarkan adalah untuk menjelaskan beberapa perkara.
“Baru-baru ni saya telah mengeluarkan single terbaharu berjudul ‘Takdir Kita’. Lagu tersebut mempunyai MV dan jika anda perasan, video tersebut telah tiada di YouTube atau laman sesawang mana-mana media.
“Video itu telah diturunkan pihak Nova Music kerana menyebabkan presepsi buruk terhadap bekas isteri saya. Jika anda imbas kembali, saya pernah mengeluarkan kenyataan bahwa MV itu berkait rapat dengan kehidupan perkahwinan saya sebanyak 40 peratus,” kata Daus.
Sebelum ini, Daus yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu mengakui lagu ciptaannya itu dihasilkan sebagai luahan hati kepada bekas isterinya.
Klik untuk gambar besar
Terdahulu, Daus menjelaskan lirik yang dihasilkan berkisarkan tentang apa yang terbuku dihati dan tidak dapat dinyatakan secara bersemuka dengan bekas isterinya.
Dalam pada itu, Daus memberitahu dia juga telah menarik semula segala tuduhan lain dan kenyataan yang dibuat kepada pihak media sebelum ini.
Daus menegaskan kenyataannya sebelum ini merupakan salah satu strategi pemasaran yang direka untuk menarik perhatian peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semulanya.
“Saya menarik balik segala tuduhan lain dan kenyataan yang telah dibuat kepada media. Saya ingin memohon maaf terutamanya kepada bekas isteri ataupun mana-mana pihak berkait rapat dengan saya sekiranya terkesan dan terasa dengan tindakan saya yang lalu.
“Ingin saya tegaskan di sini, kenyataan yang telah dikeluarkan beserta jalan cerita MV tersebut merupakan kaedah promosi dan strategi pemasaran yang direka untuk menarik perhatian peminat saya.
“Lagu itu saya cipta khas untuk peminat yang menantikan kemunculan saya setelah lama menyepi. Dengan kenyataan ini, saya juga mengaku tidak akan mengaitkan nama bekas isteri di mana-mana tempat serta media massa,” ujarnya.
Untuk makluman, Daus dan Syazaa bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Bintulu, Sarawak pada 1 Februari 2019. Mereka berkahwin pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Delysha Senzela, 6, Myesha Sehrish, 4 dan Ayesha Sheraz yang kini berusia setahun.
“MV ITU SUDAH DIKELUARKAN DARI YOUTUBE” – DAUS AF8 TAMPIL MOHON MAAF KEPADA BEKAS ISTERI