21 individu termasuk dua beranak ditahan berjudi


ACP Shafee Abd Samad

16/02/2021 12:55 PM

BUKIT MERTAJAM, 16 Feb — Polis menahan 21 individu termasuk dua beranak yang leka berjudi dan merampas wang berjumlah RM32,213 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Impian Indah di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan 1 pagi itu, difahamkan wanita berusia 49 tahun terpaksa merelakan anak lelakinya berusia 26 tahun menganjurkan aktiviti perjudian di rumah mereka walaupun menyedari perbuatan itu melanggar undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Oleh kerana mereka masih dalam mood perayaan Tahun Baharu Cina, wanita terbabit membiarkan anak lelakinya itu membawa rakan-rakan datang ke rumah untuk berjudi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata ketika serbuan dilakukan, kesemua mereka terkejut dan tergamam melihat kehadiran polis.

Katanya, 16 lelaki bersama lima wanita yang kesemuanya berusia 21 hingga 50 tahun ditahan ketika serbuan di rumah berkenaan.

“Bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan polis menyerbu rumah itu kerana terdapat pergerakan mencurigakan dan semasa serbuan kesemua mereka berada di ruang tamu dan sedang leka bermain judi.



“Semua mereka terkejut dan tergamam ketika polis menyerbu rumah itu dan hasil pemeriksaan mendapati kumpulan tersebut bermain judi jenis daun terup melibatkan pertaruhan wang mencecah ribuan ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafee berkata dalam serbuan itu polis merampas 52 keping daun terup, lapan kerusi plastik, dua buah meja, wang tunai sebanyak RM2,900 di atas meja serta duit daripada kesemua mereka sebanyak RM29,313 dipercayai hasil dan untuk pertaruhan.

Katanya, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk proses dokumentasi dan selain ditahan atas kesalahan berjudi mereka juga dikompaun kerana ingkar PKP.

“Semua mereka direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar PKP,” katanya.



18 termasuk tujuh warga emas leka berjudi, ditahan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button