Choong Hann gembira kesungguhan Zii Jia Lee Zii Jia Credit : Badminton Photo
25/02/2021 02:31 AM
KUALA LUMPUR, Feb 24 — Pengarah jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann gembira dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk berusaha mengembalikan semula rentak permainan mantap menjelang ketibaan dua Kejohanan Eropah bulan depan.
Beliau berkata pemain nombor satu negara itu diturunkan dalam sesi latihan bagi memulihkan prestasinya selepas persembahan hambar yang ditunjukkan beliau dalam tiga kejohanan di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
“Kami melakukan yang sebaik mungkin untuk mengembalikan prestasinya, dengan fokus kepada persiapan mental untuk melupakan kekecewaan di Thailand, dan memberi penekanan bagaimana dia dapat melangkah maju untuk memberi tumpuan kepada Kejohanan Terbuka Swiss dan All-England bulan depan.
“Dia telah menunjukkan semangat kental dalam latihannya dan saya sangat gembira melihat bagaimana dia berusaha mengatasi segala kepayahan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Pada Terbuka Yonex Thailand baru-baru ini, Zii Jia tewas kepada pilihan kedua Chou Tien Chen dari Tiawan dalam saingan suku akhir, sebelum tersingkir di pusingan pertama di tangan Sameer Verman dari India dalam Terbuka Toyota Thailand kemudiannya.
Persembahan hambar Zii Jia berterusan apabila dia tewas dalam semua tiga perlawanan di kejohanan Badminton World Federation (BWF) World Tour Finals, juga di Bangkok.
Pemain pilihan kedua di Terbuka Swiss itu akan memulakan kempennya dengan menentang pemain Korea Selatan Heo Kwang Hee dalam kejohanan yang akan berlangsung 2-7 Mac.
Buat masa ini Choong Hann tidak mahu memberi tekanan kepada pemain kelahiran Alor Setar itu dan berharap agar pemain pilihan kelapan dunia itu akan memberikan yang terbaik dalam kejohanan berkenaan.
Choong Hann yang merupakan bekas pemain badminton nombor satu dunia mengaku bahawa Zii Jia perlu mengatur langkah yang mantap sebelum dapat mengimpikan gelaran juara.
“Orang ramai perlu realistik. Tenggelam dalam persembahan hambar adalah sebahagian daripada perkara biasa yang dialami oleh pemain. Saya percaya dia perlukan masa untuk kembali kepada prestasi terbaiknya,” katanya semasa diminta mengulas kritikan ramai terhadap prestasi Zii Jia.
Choong Hann juga yakin pasangan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean akan mempamerkan prestasi yang baik dalam Terbuka Swiss berdasarkan persembahan hebat mereka dalam kejohanan World Tour Finals di Thailand bulan lepas.
“Saya percaya mereka kelihatan lebih mantap dalam latihan dan memperoleh banyak keyakinan diri setelah berjaya mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada pasangan Korea Selatan dalam Kejohanan World Tour Finals Open,”tambahnya.
Pasangan yang kini pilihan nombor 10 dunia itu hanya tinggal selangkah lagi untuk ke peringkat akhir dari final sebelum tersingkir dari kejohanan dengan keputusan 14-21, 15-21 kepada pilihan nombor empat dunia Lee So Hee-Shin Seung Chan.
Choong Hann didapati positif dalam saringan COVID-19 – BAM