Perikatan Apa Selepas Tubuh Kerajaan Baru?

Perikatan Nasional

Oleh Othman Bakhtiar

Kerajaan Perikatan, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) merupakan nama 4 kerajaan yang memerintah Malaysia sepanjang 64 tahun.



Apa pula jenama kerajaan selepas tertubuhnya kerajaan baru selepas ini?

Rekod memerintah paling lama (50 tahun) masih diungguli Barisan Nasional yang tumbang pada Mei 2018 digantikan oleh Pakatan Harapan.

22 Bulan vs 17 Bulan

Krisis Pakatan Harapan pula menyebabkan kerajaan tersebut tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Mengalami 7 kekalahan Pilihanraya Kecil (PRK) dan 1 Pilihanraya Negeri (PRN) sepanjang pentadbiran, menjelaskan sebuah kerajaan campuran pelbagai ideologi politik agak sukar untuk dipertahankan.



Sheraton Move yang digerakkan sendiri dari dalam PH menyebabkan Perdana Menteri Ke-7 mengambil keputusan meletakkan jawatannya.

Para penggerak Sheraton Move mula mendekati BN dan PAS bagi mencari sokongan membentuk sebuah kerajaan baru.

Setelah mendapat bilangan mencukupi serta sokongan dari Sabah dan Sarawak, Perikatan Nasional ditubuhkan pada Mac 2020.

Bagaimanapun, PN adalah sebuah kerajaan yang masih kebuntuan bila melibatkan kepentingan politik parti.



Tekanan ‘Abang Besar’ Jadi Penyebab

 

Konflik Dalaman PPBM Dijangka Meledak
Foto Hiasan

Dengan tekanan yang dikenakan secara halus ke atas UMNO serta gabungan lain melainkan PAS, permainan politik sebegini menimbulkan keresahan penyokong parti masing-masing.

PPBM yang selalu menyifatkan mereka sebagai ‘Abang Besar’ mahu yang lain-lain mengikut apa sahaja kemahuan serta arahan yang ditetapkan.

Belum lagi bab rakyat terpaksa menonton perilaku Menteri persis model melakonkan watak sebagai penghantar makanan bagi meraih populariti.



Tidak kurang ada kelakuan kuat merajuk, enggan hadir ke mesyuarat kabinet, sekadar menghantar wakil, namun perkara tersebut masih dipendam demi kestabilan politik.

Akhirnya setelah ‘menjeruk rasa’ selama 17 bulan, ikatan dalam Perikatan Nasional runtuh pada 16 Ogos 2021.

Konflik Dalaman PPBM

Muhyiddin Yassin yang kehilangan sokongan majoriti meletakkan jawatan Perdana Menteri selepas tekanan dan desakan tidak dapat dibendung.



Kini semua mata tertumpu kepada Istana Negara yang akan menentukan siapa Perdana Menteri Ke-9 selepas semua undian ahli Dewan Rakyat diperolehi.

Adakah Kerajaan selepas ini hanya mengambil pendekatan ‘Salin Kulit’ sahaja bagi memudahkan mereka mengelirukan rakyat sekali lagi?

Apa yang rakyat harapkan kini hanyalah sebuah kerajaan yang lebih memahami keperluan mereka, lebih prihatin dan kurang menekankan ideologi politik kepartian.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button