Positif Covid, Aishah Mohon Doa Dari Peminat

 

Penyanyi Janji Manismu, Aishah, 56, mengesahkan dirinya positif COVID-19, petang ini.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin berkata, keputusan diperoleh selepas menjalani ujian COVID-19, semalam.

“Selepas melakukan ujian Kit Ujian Pantas (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta, hanya saya seorang disahkan positif COVID-19.

“Doktor menyarankan saya segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus, petang ini,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Bahtera Merdeka dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu itu memaklumkan, keadaan kesihatannya beransur stabil selepas menerima rawatan kecemasan.

“Saya dibawa ke Hospital Ampang dengan menaiki ambulans, maghrib ini. Sekarang, saya sudah berada dalam wad.

“Selepas mendapat bantuan pernafasan, saya rasa semakin baik,” ujarnya.

Terdahulu, penyanyi bervokal nyaring ini turut mengumumkan khabar duka menerusi perkongsian video di Instagram (IG), petang tadi.

“Positif COVID-19. Tolong doakan kami,” tulisnya.

Video berdurasi 3.01 saat itu memaparkan Aishah menjalani ujian COVID-19 dilakukan seorang petugas kesihatan di kediamannya.

Menyusul selepas video itu, bekas anggota kumpulan Aishah & The Fan Club ini turut berkongsi satu hantaran yang memaparkan foto menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Pengalaman naik ambulans dengan berbunyi siren. Doakan saya,” katanya.

Hantaran dimuat naik Aishah dalam media sosial turut mendapat perhatian peminat dan rakan artis.

bh



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button