Atlet Angkat Berat ‘Kantoi’ Doping
Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan bahawa dua atlet mereka didapati positif doping dalam tempoh kuarantin penuh yang dijalankan di Majlis Sukan Negara (MSN).
Menurut Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, kedua-dua atlet berkenaan digantung dari sebarang aktiviti, latihan dan kegiatan sukan angkat berat Malaysia sehingga proses pendengaran dan hukuman dijalankan.
“PABM akan memberikan sepenuhnya kerjasama kepada panel pendengaran dan siasatan yang akan ditubuh dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar beliau, PABM tidak akan berkompromi dengan mana-mana atlet, jurulatih atau pegawai yang terbabit dengan doping.
“Tindakan mengambil bahan larangan ini sudah pastinya akan berlakunya persaingan secara tidak sihat serta mengakibatkan maruah sukan ini tercalar.
PABM akan terus bekerjasama dengan ADAMAS dalam melaksanakan ceramah, bengkel, kursus dan kefahaman berkaitan anti doping ini kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai.
“PABM akan mengambil tindakan lanjut berkaitan isu ini setelah keputusan penuh pendengaran dan siasatan diperoleh,” kata Ayub.
Tahun lalu PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Keputusan itu juga turut tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020.
Penggantungan selama lima bulan itu adalah disebabkan sebelum ini, PABM menggantung atlet Malaysia daripada menyertai sebarang kejohanan IWF selama setahun, bermula 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019.
metro