Tok Mun Mahu Lengkapkan Dos Vaksin
Menerima dos pertama vaksin Covid-19 bulan lalu, Maimun Jusoh atau lebih dikenali Tok Mun kini tidak sabar untuk melengkapkan vaksinasinya.
Warga emas berusia 102 tahun itu berkata, dia dijadualkan menerima dos kedua pada 12 September ini.
“Tok dok (tidak) sabar nak cucuk kali kedua sebab banyak kerja Tok nak kena buat. Lagi dok (tidak) selesai cucuk, Tok dok (tidak) boleh bergerak sana sini.. salah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Atas Tol, di sini, hari ini.
Tok Mun pernah menggemparkan negara apabila bertanding dalam Pilihan Raya Umun (PRU) ke-12 pada usia 89 tahun dan PRU 13, sebagai calon Bebas.
Bahkan, warga emas itu berkata, dia tidak keberatan untuk bertanding lagi dalam PRU ke-15 walaupun usia memasuki seabad kerana dakwanya memegang amanah orang dahulu.
Namun, yang penting kini katanya, adalah melengkapkan vaksinasi supaya dapat bergerak, menjalani kehidupan seperti biasa dan mengunjungi adik bongsunya yang tinggal di Kampung Sura, Dungun.
“Tok rindu, lama dah dok (tidak) jumpa dia. Tok jugak berhajat nak pergi Mekah buat (pergi) umrah sebab tu lah Tok cucuk (ambil vaksin),” katanya yang memberitahu lewat mendaftar untuk vaksin kerana takutkan jarum.
metro