Amerika yakin vaksin Pfizer 19 dibenarkan untuk kanak-kanak
Pegawai kanan kesihatan Amerika Syarikat (AS) percaya vaksin COVID-19 Pfizer 19 akan diberi kebenaran penggunaannya bagi kanak-kanak berusia 5-11 tahun menjelang akhir Oktober ini.
Menurut dua sumber yang mengetahui mengenai perkembangan itu, berkata ia berdasarkan jangkaan Pfizer, yang membangunkan suntikan itu dengan syarikat Jerman, BioNTech, akan mempunyai data mencukupi dari ujian klinikal.
Ia memadai untuk mendapatkan kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) bagi kumpulan umur terbabit dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS menjelang akhir bulan ini.
Sumber itu menjangkakan, FDA dapat membuat keputusan sama ada suntikan terbabit selamat dan berkesan bagi kanak-kanak lebih muda dalam tempoh tiga minggu selepas penyerahan dokumen EUA.
Pakar penyakit berjangkit terkemuka AS, Dr Anthony Fauci, menggariskan jadual waktu inokulasi itu dalam mesyuarat yang dihadiri ribuan kakitangan di Institut Kesihatan Nasional (NIH) Jumaat lalu.
Keputusan sama ada akan membenarkan penggunaan vaksin untuk golongan lebih muda begitu dinanti-nantikan oleh jutaan rakyat AS terutama ibu bapa dengan anak yang memulakan persekolahan sejak beberapa minggu lalu.
AS kekal sebagai negara paling terjejas di dunia akibat COVID-19 dengan 41,853,238 kes jangkitan termasuk 677,985 kematian dan kini berdepan ancaman varian Delta yang lebih mudah berjangkit serta menular.
Pada peringkat global, coronavirus sudah menjangkiti 225,437,167 orang termasuk 4,643,302 kematian manakala 201,973,917 mangsa disahkan sembuh di 221 negara serta wilayah. – AGENSI