Idris Haron dan Nor Azman akan sertai Pakatan Harapan
Dua ADUN Melaka daripada UMNO, yang menarik balik sokongan hingga menyebabkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, tumbang kelmarin, akan menyertai parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
Pendirian itu akan diumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, pada masa yang sesuai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan pembubaran DUN Melaka yang dibuat Sulaiman selepas hilang majoriti.
Nor Azman berkata, setakat ini beliau dan Idris sudah menerima tawaran daripada beberapa pemimpin PH untuk menyertai parti masing-masing tetapi masih membuat pertimbangan sewajarnya, bagi memastikan mereka bukan setakat menang, malah mampu membentuk kerajaan negeri selepas itu
“Saya dan Datuk Seri (Idris) akan buat keputusan parti mana yang akan kami sertai pada waktu sesuai sebelum PRN tetapi yang dua orang lagi (ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad), saya tidak tahu,” katanya dalam sidang media bersama Idris di Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini hari ini.
Nor Azman enggan mengulas parti atau pemimpin yang menghubungi mereka dan membuat tawaran menyertai gabungan PH itu.
Katanya, beliau akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14, manakala Idris pula akan mempertahankan kerusi Sungai Udang yang sudah dimenanginya selama dua penggal.
BH