Bonnie kekal juara dunia powerlifting

 

Juara Sukan Paralimpik Tokyo Bonnie Bunyau Gustin mempamerkan aksi membanggakan untuk kekal sebagai juara dunia di Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia, semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu memastikan emas menjadi miliknya dalam kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan 210kg sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada 2019 di Kazakhstan.

Atlet kelahiran Sarawak itu mengatasi pencabar terdekatnya dari China, Hu Peng yang meraih perak dengan angkatan 196kg manakala atlet Mesir, Shaaban Ibrahim memenangi gangsa dengan angkatan 195kg.



“Saya sangat gembira selepas kemenangan di Tokyo hari itu dan ini adalah kemenangan kedua saya di Kejohanan Dunia, cuma kali ini tidak dapat pecahkan rekod,” katanya dalam temu bual menerusi laman Twitter Persekutuan Powerlifting Paralimpik Antarabangsa.

Walaupun angkatan dilakukan lebih rendah berbanding rekod dunia iaitu 230kg dicatatkan ketika Piala Dunia 2021 pada Jun, Bonnie masih boleh berbangga kerana telah melepasi angkatan dilakukan pada edisi 2019 yang mengangkatnya sebagai juara dunia dengan angkatan 207kg dalam kategori 65kg.

Bonnie Bunyau meraih pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo 2020 selepas memecahkan rekod temasya itu dengan angkatan 228kg.

 BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button