Emelda kongsi kisah cemas ‘belasah’ suami
Pelakon Emelda Rosemila berkongsi kejadian mencemaskan selepas tidak sengaja telah menyebabkan kecederaan ringan pada kepala suaminya, Adlin Aman Ramli ketika menjalani penggambaran filem berjudul Abnormal.
Berkongsi perkara tersebut dalam Instagram miliknya, Emelda berkata dia telah menolak suaminya itu dengan kuat ketika menjayakan satu babak sehingga menyebabkan lelaki itu terjatuh lalu kepalanya terhantuk pada kabinet yang ada di situ.
“Saya belanja sikit babak dalam Abnormal. Masa saya tolak Adlin, dia terlanggar meja pejabat di belakang lalu terjatuh dan kepadanya terhantuk dengan kuat pada kabinet.
“Dia (Adlin) ‘blackout’ untuk beberapa saat. Dia kata otaknya bergegar. Ya Allah, perasaan ketika itu Tuhan sahaja yang tahu. Habis ganggu fokus saya nak buat babak lain sebab kepala dia benjol,” ujarnya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, pelakon yang mesra disapa Mel itu turut berkongsi sebuah video adegan dia menolak Adlin sehingga menghasilkan bunyi yang kuat ketika kepala lelaki itu terhantuk.
“Bunyi kuat itu bunyi kepada dia terhantuk. Saya tertolak dengan kuat sebab lupa diri. Terlalu fokus dengan lakonan sehingga terlupa teknik sepatutnya.
“Nasib baik babak dengan isteri, kalau dengan orang lain tidak tahu apa yang akan terjadi,” jelasnya.
Menjengah dalam ruangan komen, ramai pengikutnya mendoakan supaya Adlin tidak mempunyai apa-apa masalah dan diharap dapat sembuh dengan cepat.
“Semoga Adlin cepat sembuh,” kata seorang pengguna Instagram.
“Moga semuanya baik-baik sahaja,” kata seorang lagi pengguna.
Terdahulu, Emelda mencuri perhatian netizen apabila sanggup mencukur rambutnya sehingga botak demi kepuasan membawakan watak wanita lasak dalam filem Abnormal.
Ujarnya, dia sendiri mengusul kepada pengarah untuk menggayakan fesyen rambut botak bagi menyerlahkan lagi karakter dalam filem pertama terbitan pelakon Remy Ishak itu.
K! ONLINE