PAKATAN HARAPAN ‘PLUS’ – REALITI ATAU FANTASI, SIKAP RAKUS PPBM SEMAKIN TERSERLAH
Pakatan Harapan Harapkan Undi PPBM Untuk Anwar, PPBM Bakal Bergolak Ekoran Percanggahan Dalaman
Apabila Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyeru agar PPBM kembali bersama Pakatan Harapan, permainan politik ‘new normal’ sudah boleh dijangkakan. Apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat ‘spring cleaning’ ia memberi isyarat kepada PPBM, parti itu sedang dan telah mengambil langkah perlu mematikan pengaruh ‘kumpulan kartel’ selepas khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Bagi pencatur semua ‘kartel’ hanyalah sekadar ‘Keldai’ untuk membawa beban dan akan dijadikan tebusan politik bagi mencapai kemahuan sebenar pemimpin dalam PH. Selepas kartel tidak lagi bersama, mudah untuk mencantas karier politik dan pengaruh mereka kepada ahli bawahan dengan menggambarkan mereka (kartel) tidak setia dalam politik dan sangat mudah beralih arah demi kepentingan masing-masing.
Bagi memastikan Anwar kekal sebagai calon Bakal Perdana Menteri Ke-9, PH perlu tampil dengan imej yang lebih perkasa dari sebelum ini. Imej Anwar yang jauh lebih muda daripada Tun M, sentiasa digilap sekutu PH bagi menampakkan jurang bukan sahaja penampilan malah cara pemikiran seolah Pro-Rakyat dengan sering menyentuh isu berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti rungutan, kerisauan, dan pasca covid19. Pesona Anwar kali ini mengingatkan kembali bagaimana imej beliau pada zaman Dr Mahathir angkat dari seorang aktivis Pro-Mahasiswa hinggalah kejayaan menumbangkan Encik Ghafar Baba dari jawatan Timbalan Presiden Umno satu ketika dahulu. Walau ada pergesaran berlaku antara Anwar – Mahathir ketika PH tumbang, segalanya kelihatan seperti sudah disediakan skrip. Bermula dengan desakan Anwar, alasan Tun diikuti taat setia Anwar kepada Tun dan gesaan jangan tekan Mahathir, perebutan sokongan ahli parlimen di mana kedua-duanya saling mengaku sudah beroleh sokongan mencukupi namun akhirnya PH tumbang. Tidak terhenti di situ, kontroversi masih diteruskan agar semua pihak teruja namun segalanya terungkai dengan sepucuk surat yang turut ditandatangani Tun M mewakili PPBM mendesak agar sidang Parlimen bersidang penuh mengikut jadual dan bukan sehari seperti ditetapkan kerajaan bagi menangani penularan covid19 dikalangan ahli Parlimen.
Sekali imbas, persetujuan Tun dalam surat berkenaan adalah petunjuk kepada semua ahli PPBM bahawa beliau masih mempunyai kuasa dan pengaruh bagi menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin dari jawatan Perdana Menteri sekiranya usul undi tidak percaya diadakan dalam sidang parlimen. Jika berjaya berbuat demikian, adalah tidak sukar juga menjatuhkan Muhyiddin dari terus memegang tampuk PPBM sebagai Presiden. Umum tahu pertembungan merebut jawatan tertinggi PPBM masih berlangsung dan Mukhriz telah menyatakan akan mencabar kedudukan Muhyiddin selaku Presiden. Bayangkan apa boleh dilakukan kalau Muhyiddin dan kerajaan ‘kalah’ dalam undian tidak percaya di parlimen. Inilah strategi serampang 3 mata yang dicaturkan pihak tertentu dalam PH. Bagi memastikan sokongan dari PPBM untuk Anwar tidak mustahil ada ‘belakang tabir’ jadi sebahagian perjanjian yang menyebabkan Mukhriz sendiri menyeru agar PPBM kembali bersama PH.
Bagi golongan kartel pula, khidmat mereka sudah tidak berguna kerana strategi mengena dan akan ditukarkan dari kelda menjadi kambing hitam untuk dipersalahkan. Kemana mereka akan pergi sekiranya Muhyiddin tumbang? Menjilat kembali kahak atau mencari tapak baru? Siapa akan terima golongan yang sudah jelas tiada kesetiaan kepada parti?
Bagi dominan Pakatan Harapan, buat masa sekarang mereka lebih berdiam diri dan akan menggunakan kelebihan undi bagi memastikan kehendak tercapai selepas menaikkan Anwar. Dalam politik istilah ‘Awak garu belakang saya, saya garu belakang awak’ akan digunapakai bagi mencapai maksud parti. Ketika itu Anwar terpaksa akur dengan apa sahaja kemahuan kerana bilangan undi sokongan yang besar dari sekutu merupakan de-facto beliau mencapai impian sejak 1999. Siapa lagi akan terkorban dan dikorbankan dalam episod sinetron “Anwar Bakal PM Ke-9”?
Adakah negara bersedia untuk bertukar kerajaan lagi sekali dalam masa terdekat? Banyak perubahan polisi serta struktur pentadbiran memerlukan rombakan jika kerajaan bertukar lagi sekali dan ini akan memakan belanja lebih besar. Anwar yang selalu bercakap mengenai kewangan dan penjimatan peduli ini semua? Jika melihat kemahuan Anwar, nampaknya beliau tidak peduli itu semua melainkan kehendaknya tercapai.
Melihat senario ini, apa yang boleh dijangkakan sekiranya kerajaan bertukar lagi? Dengan covid19 yang belum selesai, kehidupan norma baru kepada rakyat sudah pasti impaknya berlainan dimana akhirnya rakyat tidak lagi peduli kerakusan pemimpin menggapai kuasa kerana bagi mereka (rakyat) perut keluarga perlu diisi, kantung mereka perlu penuh bagi menghadapi era kemelesetan ekonomi terburuk pasca covid19.
BN dan Pas yang memeterai Muafakat Nasional sudah pasti tidak terjejas sekiranya undi tidak percaya berjaya dibawa PH ke sidang parlimen. Undi berbelah bahagi hanya akan berlaku dalam Pakatan Harapan dan PPBM dan dipercayai tiada keputusan majoriti akan diperolehi walau sokongan dari Warisan memihak kepada PH. Dipercayai parti tempatan dari Sarawak akan berkecuali seperti BN dan PAS kerana sedar sebarang salah langkah yang rugi adalah rakyat dan negara. Siapa sebenarnya yang akan meraih laba dalam pergolakan ini?